|
Mayat remaja lelaki Muhammad Farmirul Muhammad Fauzi, 14, yang lemas petang semalam ditemui tersangkut pada batang kayu di tepi sungai di loji air Felda MEMPAGA. FOTO IHSAN PDRM
Bentong: Mayat remaja lelaki yang lemas petang semalam ditemukan tersangkut pada batang kayu di tepi sungai di Loji Air Felda Mempaga, di sini, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian pada 12 tengah malam, mayat Muhammad Farmirul Muhammad Fauzi ditemui oleh penduduk Felda Mempaga kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa dipercayai dihanyutkan air di kawasan loji air terbabit pada 3.20 petang semalam.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam bagi memaklumkan kejadian itu.
"Bertindak di atas maklumat itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Lurah Bilut pergi ke lokasi dan mendapati seorang remaja dihanyutkan arus sungai.
"Terdahulu, mangsa bersama tujuh rakannya berusia sembilan hingga 14 tahun keluar memancing di sungai berhampiran loji air kira-kira 2 petang sebelum memberitahu rakannya mahu mandi.
"Hasil siasatan awal, mangsa secara tiba-tiba lemas dan dihanyutkan arus yang deras. Rakan-rakan mangsa cuba membantu, tetapi tidak berjaya," katanya.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan, namun dihentikan pada 7 malam semalam sebelum mayat mangsa berjaya ditemui penduduk.
|
|