
KUCHING: Seorang lelaki didenda RM3,400 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana memecahkan cermin hadapan dan belakang kereta milik lelaki lain menggunakan sebuah penyerap hentakan (absorber) motosikal sehingga mangsa mengalami kerugian RM700.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan tertuduh, Rudy Mohamad, 41, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut, untuk dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 29 Mac lalu di hadapan rumah pengadu (mangsa) berusia 23 tahun di Kampung Tabuan Hilir di sini, sekitar jam 7.30 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan keterangan kes, pengadu sedang berada di Kampung Tabuan Melayu di sini sebelum menerima panggilan telefon daripada adik lelakinya yang menyatakan cermin kereta kompak pengadu dipecahkan oleh tertuduh menggunakan sebuah penyerap hentakan motosikal.
Pengadu terus bergegas balik ke rumah dan menahan tertuduh sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.
Hasil siasatan mendapati tertuduh mempunyai empat rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.
utusanborneo.com.my/2022/04/02 |