
Keadaan dermaga Sungai Nyelong yang telah ditutup kerana berada dalam keadaan usur dan tidak selamat digunakan.
SARIKEI: Dermaga di Sungai Nyelong kini berada dalam keadaan usang dan tidak selamat lagi digunakan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii.
Berikutan itu katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menutup penggunaan dermaga tersebut demi keselamatan semua pihak.
"Berdasarkan rekod daripada JKR, dermaga ini telah pun berusia 40 tahun pembinaannya.
"Melalui pemantauan dan tinjauan yang dilakukan oleh pihak JKR mendapati beberapa tiang utama dermaga ini sudah rosak dan struktur yang lain pun rosak. Situasi ini telah memberikan risiko bahaya jika ia terus digunakan kepada semua pihak, terutama untuk aktiviti pemunggahan barang atau bahan binaan.
"Hasil pemantauan dan kajian tersebut juga mendapati dermaga ini tidak releven untuk dibaiki dan diselenggara kerana ia telah uzur," kata Huang.
Beliau berkata demikian kepada media sejurus selesai menghadiri taklimat ringkas bersama dengan JKR Sarikei berkaitan Dermaga Sungai Nyelong, baru-baru ini.
Taklimat ini telah dikendalikan oleh Jurutera Bahagian, JKR Sarikei, Toh Chee Leong dan turut dihadiri oleh wakil dari Persatuan Lori Sarikei.
Menurut Huang, berdasarkan situasi tersebut, usul untuk membina dermaga baharu untuk menggantikan dermaga terbabit adalah satu langkah yang terbaik untuk mengatasi masalah tersebut.
"Pihak kita akan mengemuka satu usul dan kertas kerja bagi cadangan pembinaan baharu dermaga kepada pihak Kementerian Pengangkutan Sarawak untuk menyelesaikan isu ini.
"Kita berharap cadangan dan pelan pembinaan baharu ini nanti akan mendapat perhatian daripada pihak kementerian dan sekali gus memberi berita gembira kepada masyarakat di sini, terutama yang bergantung kepada kemudahan ini untuk kerja-kerja pemunggahan barang dan bahan binaan.
"Justeru, kita berharap semua pihak bersabar kerana kita sentiasa berusaha untuk menyelesaikan setiap permasalahan yang berlaku di kawasan ini," tegas Huang lagi.
utusanborneo.com.my/2022/04/02 |