|
MOHD. NOR HAMZAH
KUALA TERENGGANU: Kawasan penempatan orang Cina dikenal pasti sebagai antara lokasi tumpuan golongan kaki ponteng puasa di negeri ini sepanjang Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, penguat kuasa syariah dengan dibantu agensi-agensi lain termasuk pihak berkuasa tempatan dan polis akan memperhebatkan pemantauan di kawasan berkenaan menerusi operasi bersepadu, Op Plastik Hitam.
“Daripada maklumat yang diperoleh sebelum ini, ada segelintir umat Islam mengambil kesempatan menjadikan perkampungan dan bandar Cina sebagai sarang untuk ponteng puasa.
“Mungkin dahulu ada kejadian sebegitu dalam kalangan golongan muda termasuk penagih dadah. Oleh itu, fokus akan diberikan kepada kawasan berkenaan bagi menangani isu kaki ponteng puasa,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, mana-mana individu yang ditahan tidak berpuasa akan diberi nasihat terlebih dahulu sebelum dikenakan tindakan tegas.
Katanya, selain menggempur lokasi panas, aktiviti dakwah jalanan juga akan digerakkan sepanjang Ramadan ini bagi menyebarkan maklumat dan risalah termasuk mengenai kesalahan tidak berpuasa yang boleh dikenakan hukuman di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002.
“Kita mahu rakyat tanamkan rasa takut dengan tindakan mengikut enakmen yang ada. Malah saya juga mencadangkan agar setiap masjid dapat menyampaikan peringatan mengenai hukuman buat individu ponteng puasa sebelum solat Jumaat,” katanya. –UTUSAN ONLINE
https://www.utusan.com.my/berita ... kaki-ponteng-puasa/ |
|