CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 313|Reply: 0

[Terengganu] Mak ngah amanah Allah, saya akan jaga selagi terdaya...

[Copy link]
Post time 5-4-2022 11:19 AM | Show all posts |Read mode
Kuala Nerus: Rasa kasih dan sayang terhadap ibu saudaranya yang juga orang kurang upaya (OKU) membuatkan seorang wanita rela hati menjaga insan istimewa itu.

Malah, riak wajah Nurayati Ramlee, 40, yang tenang ketika melayan Rudziah Sagir, 65, menggambarkan betapa kasihnya anak sulung kepada enam beradik terhadap ibu saudaranya.

Menurut Nurayati, apa yang dilakukan adalah atas dasar tanggungjawab terhadap insan yang menjadi penemannya sejak kecil memandangkan ketika itu ibu bapanya bekerja sebagai penjawat awam di Kementerian Pertahanan (Mindef) Kuala Lumpur.

"Saya memang rapat dengan mak ngah kerana kami membesar bersama ketika saya tinggal di kampung sebelum ini dan kini tiba masanya untuk saya pula menjaganya.

"Nenek, ibu dan ayah juga sudah berusia, jadi saya ambil tanggungjawab ini bagi meringankan beban mereka," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Gong Pak Jin di sini, hari ini.

Nurayati berkata, dia datang bersama ke Terengganu pada 2018 untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Ketika itu, saya datang ke sini bersama ibu saudara, nenek dan adik yang juga belajar di sini namun, sebaik adik menamatkan pengajiannya pada Oktober tahun lalu, dia pulang ke Johor selepas mendapat tawaran di sana.

"Tidak lama kemudian, nenek juga pulang ke rumahnya di Segamat awal Januari lalu tetapi ibu saudara mahu tinggal bersama saya di sini sementara nenek pula dijaga salah seorang adik saya.

"Jika diikutkan, baru dua bulan kami berdua dan saya tidak rasa terbeban sebaliknya bersyukur kerana diberi peluang untuk menjaganya yang saya sudah anggap seperti ibu saya sendiri," katanya yang sudah mendirikan rumah tangga Mac tahun lalu.


Nurayati Ramlee bersama ibu saudaranya, Rudziah Sagir yang menghidap penyakit Saraf ketika ditemui di Kampung Gong Pok Jin. FOTO GHAZALI KORI

Sebelum ini, tular satu video berdurasi 28 saat menunjukkan Nurayati menunggang motosikal roda tiga sambil melindungi seorang wanita OKU daripada panas ketika melalui Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

Mengulas mengenai video itu, Nurayati berkata, video itu diambil ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar tempahan aiskrim di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu.

Katanya, dia mula menjual aiskrim awal Januari lalu dan akan membawa ibu saudara bersama dengan mengikatnya di belakang namun video yang tular itu berlaku ketika kali pertama dia membawanya menggunakan motosikal roda tiga.

"Selepas video itu tular, saya menerima banyak panggilan daripada pelbagai pihak yang mahu membantu termasuk pendakwah, Ebit Lew yang turut menghadiahkannya sebuah kereta Perodua Bezza.

"Saya hargai keikhlasan dan bantuan semua pihak termasuk individu yang menularkan video kami dan hanya ucapan terima kasih serta doa mampu saya lakukan bagi membalas masyarakat di luar sana.

"Selain itu, saya juga bersyukur kerana ahli keluarga termasuk ibu bapa dan adik beradik serta suami sentiasa memberi sokongan dan jika ada yang ingin membantu, sokonglah perniagaan aiskrim saya," katanya.

Ketika ditanya mengenai status pengajiannya, Nurayati berkata, ketika ini, dia menangguhkan pengajian peringkat sarjananya kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada ibu saudaranya dan perniagaan yang baharu diusahakan.

"Pengajian tertangguh kerana beberapa faktor termasuk kewangan dan pelaksanaan PKP (perintah kawalan pergerakan) yang menyukarkan saya membuat kajian, jadi saya fikir adalah lebih baik saya tangguh dan Insya Allah, akan sambung semula apabila keadaan semakin baik," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... lagi-terdayametrotv
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-2-2025 11:14 PM GMT+8 , Processed in 0.116693 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list