Sabah rekod 198 kes baharu COVID-19
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 198 kes baharu COVID-19 hari ini dengan peningkatan sebanyak 58 kes berbanding semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jumlah daerah yang mencatatkan kes baharu dua angka bertambah daripada empat daerah semalam kepada tujuh daerah hari ini.
"Beberapa daerah mencatat pertambahan tinggi seperti Penampang yang menambah 17 kes, Beaufort naik 23 kes dan Keningau mencatat 10 kes.
"Kota Kinabalu 42 kes (+5), Tuaran 10 kes (-11), Papar 14 kes (+9) dan Sandakan 13 kes (+8). Tidak ada kes baharu di empat daerah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, peratusan kes jangkitan sporadik juga naik kepada 58 peratus berbanding 55 peratus pada hari sebelumnya.
Katanya, jangkitan sporadik yang meningkat akan mengakibatkan pertambahan kes-kes baharu pada hari seterusnya.
"Kita juga mengambil kira bahawa penarikan pelbagai sekatan ke atas aktiviti sosial dan ekonomi mulai bulan ini sedikit sebanyak akan menyumbang kepada jumlah kes yang bertambah dalam masa terdekat.
"Seramai 193 daripada 198 pesakit baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, tiga pesakit dalam Kategori 4 dan dua pesakit dalam Kategori 5. Tidak ada pesakit dalam Kategori 3," katanya.
utusanborneo.com.my/2022/04/05 |