
Lan Berambeh Sungkei 2022 kembali, Dr Annuar pelawa orang ramai cadang tarikh
Poster Lan Berambeh Sungkei 2022 di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang Sibu yang dikongsikan Dr Annuar menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.
SIBU: Setelah dua tahun program berbuka puasa beramai-ramai di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang Sibu tidak diadakan akibat pandemik COVID-19, Lan Berambeh Sungkei 2022 akan dianjurkan kembali tahun ini.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr Annuar Rapa’ee menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini. "Lan Berambeh Sungkei 2022 kembali lagi setelah dua tahun tidak diadakan.
"Setelah menghubungi (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian) JPBB Sibu, maka Pusat Khidmat DUN Nangka akan menganjurkan Lan Berambeh Sungkei di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, Sibu," katanya.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu belum menyatakan tarikh penganjuran, sebaliknya meminta orang ramai mencadangkan tarikh yang bersesuaian.
Sehubungan itu, menerusi ruang komen, antara tarikh yang menjadi pilihan adalah 23, 24 dan 25 April.
"Sama tarikh ngan (dengan) pembukaan Masjid Al Qadim... lepas sungkei kita berjemaah Maghrib di Masjid Al Qadim... Aamiin," cadang Ishak Dahlan yang membalas di ruang komen hantaran Dr Annuar terbabit.
"Polah (Adakan) lekak (selepas) gaji YB. Semua orang dapat merami (berkumpul)," kata Ct Nurfatimah Hussen.
Sementara itu, berbuka puasa di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang mula menjadi trend pada tahun 2015, sebelum Dr Annuar menjadikannya sebagai acara tahunan bermula 2017 hingga 2018.
Program berbuka puasa ini bukan sahaja melibatkan masyarakat Muslim, malah turut menjemput persatuan-persatuan dari agama lain seperti Persatuan Teo Chew Sibu, Persatuan Kuil Hindu Sibu, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu, Kuil Sikh Sibu dan lain-lain lagi.
Berdekatan dengan bazar ramadan terbesar di Sibu, memudahkan orang ramai termasuk pengunjung luar untuk menyertai program berbuka puasa secara santai berkenaan. Bagaimanapun, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan program tersebut dihentikan selama dua tahun.
utusanborneo.com.my/2022/04/05 |