
MAUT: Kenderaan mangsa yang terhumban ke tepi jalan raya selepas bertembung dengan pacuan empat roda.
KINABATANGAN: Seorang guru wanita maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda berhampiran Kampung Perpaduan, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa Nurul Izzah Fatinah Ismail,31, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Menurut sumber, sebelum kejadian guru berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan.
Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian sebuah pacuan empat roda dipercayai masuk ke lorong jalan mangsa yang mengakibatkan kedua-dua kenderaan berkenaan bertembung sebelum terhumban ke tepi jalan raya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.07 petang.
Katanya, susulan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati seorang wanita tersepit dalam sebuah kenderaan sebelum dikeluarkan anggota bomba.
“Bagaimanapun, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut berada dilokasi kejadian,”katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, pemandu pacuan empat roda berumur 53 tahun pula dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut.
Nurul Azlan berkata pasukannya melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.01 petang.
utusanborneo.com.my/2022/04/06 |