|
ANGGOTA bomba sedang memadam kebakaran tiga unit rumah kedai di Kampung Seberang Jertih, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.
Jertih: Zulkarnain Tawang sedang bersolat Asar ketika menyedari api marak membakar bengkel membaiki televisyennya yang terletak di Kampung Seberang Jertih di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, tiga bengkel iaitu bengkel motosikal, kimpalan dan televisyen daripada jenis separa kekal musnah 100 peratus.
Menurut Zulkarnain, 55, pada awalnya dia menyangka bunyi letupan akibat budak bermain mercun, namun terkejut apabila melihat api ketika sedang solat.
"Saya datang ke kedai selepas Zohor dan bercadang mahu menutup kedai sekitar 5.30 petang, sebelum pulang ke rumah di Kampung Padang Luas.
"Terdapat 17 televisyen pelanggan yang sudah siap dibaiki, hangus dalam kebakaran ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Zulkarnain yang sudah menyewa premis itu sejak 20 tahun lalu memaklumkan punca kebakaran masih dalam siasatan bomba.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 5.02 petang dan 14 anggota dikerah ke lokasi.
"Setiap unit rumah kedai musnah sepenuhnya, namun api berjaya dikawal daripada merebak dan tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan," katanya.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada 7.47 malam.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-ketika-solat-asar |
|