BINTULU: Tiga naskah al-Quran unik yang terdapat di Masjid Assyakirin di sini menarik tumpuan ramai, bukan sahaja kerana saiz besar tetapi bertulisan tangan dan dua daripadanya ditulis atas pelepah kayu.
Satu naskah berukuran 1.27 meter panjang dan 61 sentimeter (sm) lebar ditulis atas kertas, manakala dua lagi naskah berukuran 81 sm panjang dan 50 sm lebar dan berukuran 90 sm panjang dan 58 sm lebar ditulis atas pelepah kayu.
Pengerusi Masjid Assyakirin Datu Mohidin Ishak berkata al-Quran tersebut diserahkan oleh seorang bukan Islam pada tiga tahun lepas kepada Masjid Assyakirin bersama 30 lagi naskah al-Quran bersaiz biasa.
"Beliau orang dari Bintulu (menerimanya daripada orang Indonesia), oleh kerana niat dia untuk menyerah al-Quran besar, kita terimanya. Sampai hari ini (al-Quran ini) masih dengan kita di sini.
"Alhamdulilah pihak kerajaan Sarawak berminat untuk melihatnya setelah video tular (baru tular selepas tiga naskah al-Quran itu ditempatkan di Masjid Assyakirin), sekiranya sahih kita mesti menjaga kitab al-Quran dengan sebaiknya," katanya ketika ditemui Utusan Borneo di Masjid Assyakirin pada Jumaat.
Selepas video mengenainya tular menerusi media sosial, umat Islam bukan sahaja dari Bintulu tetapi dari seluruh Sarawak ingin melihat sendiri. Ia kini disimpan di sebuah bilik dalam masjid agar ia tidak rosak sekiranya dipamerkan.
Awang Fakrulrizan (kanan) dan Rafiee (kiri) meneliti naskah al-Quran yang unik kerana saiznya, bertulisan tangan dan ditulis atas pelepah kayu yang disimpan di Masjid Assyakirin Bintulu.
Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Masjid Assyakirin Abang Arshad Abang Anuar berkata, seorang rakan bukan beragama Islam di Bintulu difahamkan telah menyimpan al-Quran ini lebih 10 tahun.
"Kita pun tidak pasti nilai naskah ini dari segi sejarahnya, bagaimanapun Alhamdulilah ada minat untuk kita mengkaji sama ada naskah ini yang asal, asli ataupun salinan seperti buku-buku biasa.
"Tetapi daripada strukturnya memang nampak (al-Quran) benda ini telah lama bukan baharu, bertulisan tangan cuma kita berharap Majlis Islam dengan pihak yang ada kuasa dan kepakaran untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.
Ketua Penolong Pegawai Unit Al-Quran, Jabatan Agama Islam Sarawak Ustaz Rafaiee Morshidi berkata naskah al-Quran unik ini akan dikaji lebih lanjut dengan bantuan pakar-pakar bagi menentukan kesahihannya dan usianya.
Pihaknya juga akan mendapatkan khidmat pakar dari muzium dan melantik beberapa pegawai dari Jabatan Agama Islam.
"Kita juga akan membentuk jawatankuasa untuk mengkaji al-Quran ini walaupun tulisan-tulisan tangannya betul. Memang banyak yang perlu kita teliti, Insya-Allah kita akan kaji lebih mendalam tentangnya. Kita minta pihak pengurusan Masjid Assyakirin untuk menyimpannya terlebih dahulu al-Quran ini supaya kita dapat memeriksanya bersama pakar," ujarnya.
Pihaknya berharap agar generasi kini dapat melihat bagaimana orang dahulu menjaga dan menulis ayat suci al-Quran menggunakan tangan.
"Ada yang ditulis di atas pelepah-pelepah kayu mengikut zaman Rasulullah S.A.W. dan ini adalah keunikan yang perlu kita lihat bersama berkenaan kesungguhan orang dahulu yang tiada mesin fotostat dan pencetak dapat menyediakan al-Quran secara bersungguh-sungguh sehingga sampai 30 juzuk ia ditulis," katanya.
Turut meneliti al-Quran tersebut ialah Pegawai Hal Ehwal Islam JAIS Bahagian Bintulu Ustaz Awang Fakrulrizan Awang Madohi dan ahli-ahli jawatankuasa pengurusan Masjid Assyakirin Bahagian Bintulu.
utusanborneo.com.my/2022/04/08 |