
Majang meletakkan sumbangannya ke dalam tabung Bazar Gawai Dayak GADS sambil disaksikan yang lain selepas merasmikan tabung terbabit pada majlis Majlis Pra Pelancaran Bazar Gawai Dayak 2022, di Miri malam Khamis.
MIRI: Penganjuran Bazar Gawai bukan sahaja platform mempromosikan juadah tempatan, malah landasan untuk mengetengahkan adat dan budaya masyarakat Dayak di negeri ini.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi berkata, dalam masa jangka panjang, beliau yakin impak penganjuran bazar terbabit mampu memupuk nilai usahawan dalam kalangan masyarakat Dayak, khususnya golongan belia.
“Di samping itu, dengan penganjuran yang lebih komprehensif, saya yakin penganjuran Bazar Gawai suatu hari nanti turut mampu dijadikan sebagai produk pelancongan dan memberi manfaat serta penyumbang kepada pembangunan di sini,” ujarnya.
Majang yang mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata demikian pada Majlis Pra Pelancaran Bazar Gawai Dayak 2022 anjuran Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) di sebuah hotel di sini, malam Khamis.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Miri Adam Yii, Penasihat Undang-Undang GADS Jonathan Bedindang, Pengerusi GADS merangkap Pengerusi Bazar Gawai Dayak 2022 David Upe serta tetamu kehormat yang lain.
Majang memuji usaha dan inisiatif GADS untuk memberikan konsep baharu menerusi Bazar Gawai berkenaan yang amat dinanti-nantikan selepas dua tahun tidak dianjurkan akibat pandemik COVID-19.
“Seiring dengan perkembangan dan peredaran masa, konsep dan sambutan Gawai Dayak turut terkesan dengan perubahannya.
“Bagaimanapun, saya amat menyambut baik akan penerapan elemen dan nilai ekonomi menerusi mewujudkan Bazar Gawai seumpama ini.
“Ia bukan sahaja dijadikan wadah pertembungan kepelbagaian masyarakat, tetapi turut menjadi medium untuk terus memperkukuh perpaduan kaum,” jelasnya.
Justeru, beliau mahu mereka yang terlibat dalam Bazar Gawai kelak menggunakan peluang tersebut untuk saling bertukar pandangan dan pendapat ke arah mencapai objektif dan kata muafakat bagi memastikan penganjurannya mencipta sejarah sendiri.
Pada majlis itu, Majang turut mengumumkan peruntukan bernilai RM35,000 daripada Uggah kepada GADS bagi memastikan penganjuran bazar terbabit berjalan dengan lancar. Terdahulu, dalam ucapan aluan, David memberitahu Bazar Gawai 2022 akan diadakan dari 1 hingga 21 Mei depan.
Sehubungan itu, beliau berharap sokongan semua pihak khususnya ahli-ahli GADS dalam membantu menjayakan penganjurannya kelak.
utusanborneo.com.my/2022/04/08 |