
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran Rumah August Jampi.
KUCHING: Rumah August Jampi di Ban Ulu, Jalan Tanjung Assam, Betong musnah dalam kebakaran hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata rumah panjang yang memiliki 11 pintu itu dilaporkan terbakar sekitar jam 10.20 pagi.
Menurutnya, beberapa anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong terus ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
"Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang 11 pintu yang telah terbakar sepenuhnya.
"Rumah panjang tersebut adalah jenis tidak kekal dua tingkat dan semua penghuni berjaya keluar dan tiada penghuni dilaporkan cedera," katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Tambahnya, berdasarkan maklumat daripada tuai rumah, kebakaran bermula dari dapur di bahagian tengah rumah panjang.
"Namun dari pintu mana yang mula terbakar dahulu masih belum dapat dikenal pasti.
"Kebakaran berjaya dikawal jam 10.30 pagi dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya jam 1.15 tengah hari," katanya.
Terlibat sama dalam operasi tersebut ialah anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sarawak Energy Berhad (SEB), Pasukan Bomba Sukarela dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Kebakaran JBPM Sarawak.
utusanborneo.com.my/2022/04/12 |