
Lee (baris depan, empat kiri), Lai (baris depan, tiga kanan) bersama penerima sijil penghargaan pada AGM Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Miri dan Limbang di Miri.
“Sebelum ini dilaksanakan secara penggiliran sejak 21 Mac lalu dan kini boleh bersemuka tanpa penggiliran.” Dato Sri Lee Kim Shin Menteri Pengangkutan Sarawak
MIRI: Guru sekolah rendah di sini diingatkan bersedia untuk sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran pada 18 April ini, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin di sini baru-baru ini.
Katanya, persediaan itu bagi memastikan guru dan murid berasa selesa selepas dua tahun terganggu dalam sistem persekolahan akibat pandemik COVID-19.
“Sebelum ini dilaksanakan secara penggiliran sejak 21 Mac lalu dan kini boleh bersemuka tanpa penggiliran.
“Oleh itu, persediaan guru memainkan peranan penting agar kedua-dua pihak sama ada guru atau pelajar berasa lebih selesa,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) anjuran Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Miri dan Limbang di sini.
Pada masa sama, Lee berkata menghadiri pelbagai kursus disediakan turut dilihat penting untuk guru meningkatkan kemahiran masing-masing.
“Saya difahamkan persatuan ini mengadakan dua kursus berkaitan bagi membantu ahli-ahlinya memperbaiki diri terutama dalam proses pembelajaran.
“Seperti kita ketahui sekarang guru tidak lagi mengajar daripada buku teks dan lebih kepada menggunakan teknologi terkini.
“Oleh itu, pengetahuan mengenai teknologi berkaitan adalah penting,” jelasnya.
Lee berkata, guru sekarang perlu menyediakan bahan pengajaran relevan kepada murid.
Justeru, sebagai sokongan terhadap usaha mengadakan kursus itu beliau mengumumkan peruntukan RM20,000 bagi penganjurannya.
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Miri dan Limbang Lai Cheo Tian memberitahu, dua kursus akan diadakan secara dalam talian pada Ogos dan September tahun ini.
"Kursus pertama ialah ‘Matematik Kreatif’ dijangka diadakan pada 27 Ogos depan manakala kursus kedua ‘Cara Mengelakkan Pelajar Tidur Semasa Proses Pembelajaran’ akan diadakan pada 24 September depan.
"Justeru, kita mengalu-alukan semua ahli mendaftar bagi menyertai kedua-dua kursus tersebut," jelasnya.
Pada majlis itu, Lee turut menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli-ahli terbabit atas sumbangan mereka kepada persatuan tersebut.
utusanborneo.com.my/2022/04/12 |