
MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan cuba memukul ibu kandungnya menggunakan tongkat besi dan melakukan khianat.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah meneliti kesemua aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.
Dicky Lazurdi Dolah, 46, dari Tudan Fasa 2A di sini telah didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah menyerang dan cuba memukul ibunya yang berusia 71 tahun menggunakan sebatang tongkat besi.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1 petang, 23 Januari lalu di rumah keluarganya di Tudan Fasa 2A di sini.
Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan sengaja memecahkan sebuah tingkap kaca dan merosakkan tombol pintu rumah yang diletakkan di bawah jagaan ibunya.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun serta tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada masa dan di tempat yang sama.
Hasil siasatan lanjut polis, tertuduh mengaku bertindak sedemikian kerana marah disebabkan ibunya lambat membawa makanan dan minuman kepadanya yang mendakwa dirinya dikurung di dalam bilik dan bertindak memecahkan tingkap kaca dan merosakkan tombol pintu bilik.
Bagi tuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga bulan.
Manakala bagi kesalahan kedua, tertuduh dikenakan hukuman penjara 15 bulan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak mulai tarikh dia ditangkap pada 24 Januari lalu.
Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
utusanborneo.com.my/2022/04/12 |