Edited by Vellfire at 15-4-2022 03:48 PM

SAR: Operasi SAR terus dijalankan mencari dua lagi mangsa yang masih hilang.
Tragedi bot karam: Lima maut, dua masih hilang
SEMPORNA: Lima maut, manakala dua lagi masih hilang dan 13 terselamat dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Timbun Mata, di sini semalam.
Bot yang dipercayai membawa 20 penumpang warga tempatan itu dalam perjalanan daripada Kampung Bakung-Bakung menuju ke Kampung Tandoan sebelum karam dipukul ombak.
Mangsa yang maut terdiri dua wanita dan tiga kanak-kanak berumur satu hingga 33 tahun itu ditemukan orang kampung di lokasi kejadian. Manakala mangsa yang masih hilang Noranis, 14, dan Aiman,6.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10 malam.
Katanya, susulan itu, pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan dibantu dengan aset pasukan penguatkuasa yang lain.
“Kita difahamkan bot berkenaan membawa seramai 20 penumpang dan telah karam akibat dipukul ombak semasa melalui perairan Pulau Tandoan, Timbun Mata.
“Seramai lima mangsa ditemukan tidak bernyawa, manakala dua masih hilang dan 13 penumpang lagi berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan keselamatan sedang giat menjalankan SAR mencari dua lagi mangsa yang dipercayai masih hilang.
“Seramai 11 anggota dan pegawai bersama dua aset Maritim digunakan dalam operasi yang dilakukan sejak semalam.
“SAR turut dibantu anggota dan aset daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Pasukan Polis Marin (PPM) serta enam bot penduduk kampung,” katanya.
Norrimi berkata kawasan pencarian dilakukan secara bebas sepanjang Terusan Segalong, Pulau Timbun Mata memandangkan perairan di lokasi cetek.
“Bot berkenaan dipercayai karam disebabkan terlebih muatan dan keadaan cuaca buruk serta ombak yang kuat ketika itu.
“Kita akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa berkaitan dengan operasi SAR dua orang hilang berkenaan,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/04/15
|