BEAUFORT: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort sekali lagi merekodkan kes penipuan membabitkan Macau Scam apabila seorang wanita kerugian RM18,570 akibat terpedaya skim tersebut.
Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaccob berkata mangsa 37 tahun itu mendakwa diperdaya oleh sindiket yang menyamar sebagai Pegawai POS Malaysia dan pihak Polis.
“Hasil siasatan mendapati kejadian bermula apabila mangsa menerima beberapa panggilan daripada nombor tidak dikenali yang mendakwa pihak pemanggil adalah kakitangan Pos Malaysia.
“Pihak pemanggil mendakwa terdapat beberapa bungkusan atas nama mangsa yang mencurigakan dan mengandungi kad pengenalan serta kad bank untuk dihantar ke Sarawak,” katanya.
Tambahnya panggilan kemudiannya disambungkan kepada IPD Ipoh Perak untuk pengesahan sebelum mangsa didakwa terlibat dengan kegiatan penggubalan wang haram daripada anggota polis berpangkat Sarjan terbabit.
“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk merahsiakan perkara itu untuk mengelakkan mangsa ditangkap akibat kegiatan terbabit.
“Sindiket penipuan itu juga mengarahkan mangsa untuk memberi wang jaminan sebanyak RM10,000 dan wang akan dikembalikan selepas kerja siasatan selesai dijalankan,” katanya.
Menurutnya mangsa yang panik dan takut segera menghantar maklumat bank serta kata laluan dan nombor TAC kepada pemanggil berkenaan.
“Mangsa mula memindahkan wang secara berperingkat melalui pindahan "duit now" ke satu akaun milik seorang individu yang tidak dikenali sejak 19 hingga 26 Mac lalu.
“Mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas sering diminta untuk membuat pembayaran sebelum bertindak membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Masyarakat juga diingatkan untuk lebih bijak dan jangan panik atau tidak melayan sebarang panggilan yang mencurigakan terutama berkaitan pemindahan wang agar tidak menjadi mangsa Macau Scam.
“Orang ramai juga perlu peka dan ambil tahu apakah itu Macau Scam dan tidak menunding jari kepada pihak berkuasa semata-mata untuk menangani jenayah ini, Macau Scam adalah jenayah rentas sempadan yang perlu ditangani bersama,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/04/15 |