KUCHING: Kerajaan Sarawak menawarkan pinjaman RM1 bilion kepada kerajaan persekutuan sebagai dana pendahuluan untuk membina sebuah pusat kanser di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan akan dibentangkan kepada kabinet serta Perdana Menteri untuk diluluskan.
“Peringkat seterusnya untuk kelulusan Perdana Menteri dan kabinet untuk pinjaman RM1 bilion daripada kerajaan Sarawak.
“Dengan ini, Kuala Lumpur (kerajaan persekutuan) tidak lagi menggunakan 'tiada wang' sebagai alasan untuk menangguhkan kemudahan yang sangat diperlukan sementara rakyat Sarawak meninggal dunia akibat kanser,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat selepas mengadakan pertemuan bersama Khairy Jamaluddin di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir sama pertemuan berkenaan ialah Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Sarawak Michael Tiang.
Dr Sim (dua kanan) menyerahkan cenderamata kepada Khairy semasa pertemuan baru-baru ini. Turut kelihatan Aaron (kiri) dan Michael (kanan). - Gambar Facebook Dr Sim Kui Hian
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, dianggarkan 5,000 kes kanser setahun dari Sarawak.
Tambahnya, sehingga kini terdapat 150 katil sedia ada dan ia sama sekali tidak mencukupi kerana Sarawak memerlukan sekitar 250 hingga 300 katil.
Mengulas mengenai Hospital Medan di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Miri, Dr Sim berkata sama seperti konsep Hospital Sibu, infrastruktur hospital dibiayai oleh kerajaan negeri.
“Namun Kementerian Kesihatan (KKM) akan membiayai peralatan, tenaga kerja dan kos operasi,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/04/16 |