Kes COVID-19 di Sabah terus menurun
KOTA KINABALU: Angka jangkitan baharu kes COVID-19 di Sabah terus menurun selama tiga hari berturut-turut dengan jumlah sebanyak 58 kes direkodkan hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jumlah itu adalah yang terendah sejak 14 Mei 2021 dengan jumlah 11 kes lebih rendah berbanding hari semalam.
"Keadaan di Sabah terus bertambah stabil. Sebanyak 13 daripada 27 daerah di negeri ini tidak mencatat sebarang jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.
"Sebanyak tujuh daerah mencatat peningkatan jumlah kes baharu tetapi pada kadar yang marginal, iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Semporna, Beluran, Kota Marudu, dan Tambunan.
"Kota Kinabalu kekal sebagai daerah yang mencatat kes baharu dua angka," katanya dalam kenyaataan di sini hari ini.
Beliau berkata, tanda-tanda penstabilan kes jangkitan virus COVID-19 di Sabah harus dilihat dan dinilai dengan mengambil kira peratusan jangkitan sporadik yang kekal tinggi.
Menurutnya, kadar jangkitan sporadik semalam ialah 62 peratus daripada keseluruhan kes baharu. Peratusan tinggi ini adalah satu peringatan bahawa jumlah jangkitan harian boleh bertukar secara mendadak sekiranya masyarakat lalai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, seramai 54 orang daripada 58 pesakit baharu adalah dalam kategori satu dan dua, manakala satu kes masing-masing kategori tiga dan lima, dan dua kes kategori empat.
utusanborneo.com.my/2022/04/18 |