
Sebahagian kru dan tekong nelayan Vietnam yang ditangkap.
BINTULU: Seramai 32 kru termasuk tekong nelayan dari Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam tiga bot menangkap ikan yang menggunakan pendaftaran nombor palsu yang ditemui sekitar 193 batu nautika ke utara Pelabuhan Bintulu pada Khamis lalu.
Ia merupakan rampasan terbesar tahun ini membabitkan pencerobohan nelayan asing dengan nilai RM1.5 juta termasuk tiga vesel, hasil laut, minyak diesel dan peralatan menangkap ikan.
Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, tiga bot yang ditahan menggunakan nombor pendaftaran palsu SF1-6899, SF1-9960 dan SF1-9618.
Katanya, kesemua nelayan ditahan tidak bertindak agresif semasa dihampiri Maritim Malaysia pada jam 10 malam 13 April sehingga berjaya ditahan pada jam 1.30 pagi 14 April.
Menurutnya, kru dan tekong berumur 24 hingga 55 tahun yang ditahan didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan ketiga-tiga vesel itu didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi tanpa lesen sah dan disyaki mengguna nombor pendaftaran palsu.
"Anggaran nilai rampasan adalah RM1.5 juta termasuk nilai tiga vesel, hasil laut ikan campur-campur 1.3 tan dan 2,000 liter minyak diesel dan peralatan menangkap ikan," ujarnya pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Bintulu Batu 5 Wisma Peng Seng Jalan Bintulu-Miri di sini, semalam.
Beliau berkata, nelayan yang ditangkap turut diarah menjalani saringan RTK Antigen Kit COVID-19 sebelum dimasukkan dalam lokap Zon Maritim Bintulu.
Katanya, Maritim Malaysia telah mengkoordinasi operasi khas penangkapan nelayan asing yang rakus merompak hasil laut negara berikutan menerima banyak aduan daripada komuniti nelayan setempat mengenai pencerobohan tersebut.
Effendy berkata, statistik tangkapan bot nelayan asing setakat semalam melibatkan empat bot nelayan Vietnam dengan penahanan keseluruhan 38 kru dengan nilai rampasan mencecah RM2 juta.
Katanya, pecahan tangkapan sejak Januari lalu merangkumi yang pertama pada 8 April sebuah kapal bernombor pendaftaran KG90780 TS membawa enam kru termasuk tekong dengan nilai rampasan RM500,000.
Diikuti yang kedua katanya, pada 13 dan 14 April, kita menahan tiga bot bersama 32 kru termasuk tekong nelayan warga Vietnam dengan nilai rampasan RM1.5 juta.
"Kita sentiasa mengetatkan kawalan keselamatan di perairan zon maritim Malaysia bagi menjamin keselamatan bot nelayan negara ini serta mereka mematuhi undang-undang sedia ada.
"Orang ramai yang melihat pencerobohan nelayan asing atau aktiviti mencurigakan di perairan Bintulu boleh menyalur maklumat terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam sehari," katanya.
Setakat ini katanya, ini merupakan tangkapan terbesar Maritim Malaysia melibatkan nelayan asing dari Vietnam di perairan di sini.
Menjelas lanjut katanya, vesel yang dirampas akan melalui prosedur sebelum dilupuskan supaya tidak diguna mana-mana pihak yang mana cara pelupusan bergantung kepada cara sedia ada yang ditetapkan kerajaan.
utusanborneo.com.my/2022/04/18 |