
Anggota bomba yang menyertai operasi tersebut.
SEBUYAU: Seorang lelaki dilaporkan hilang apabila bot yang dinaikinya terbalik selepas berlanggar dengan sebuah kapal pasir di Sungai Rama, Kuala Batang Lupar pada Rabu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12 tengah hari, hari ini.
Menurutnya, anggota bomba yang dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki hilang di perairan Pulau Burung terus melakukan pencarian mangsa dikenali sebagai Isa Uja, 35.
"Pencarian SAR hari pertama tertumpu lokasi kejadian dalam lingkungan radius lebih kurang lima kilometer dan lokasi sebenar kejadian adalah di perairan Batang Lupar.
"Operasi tersebut turut dibantu oleh agensi lain dan penduduk kampung dengan bot persendirian," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan, mangsa semasa kejadian bersama seorang rakannya dalam perjalanan balik ke Sebuyau selepas menangkap ikan di laut berhampiran Sungai Rama.
"Secara tiba-tiba bot fiber yang dinaiki mereka terlanggar sebuah kapal dengan muatan pasir menyebabkan bot mereka terbalik.
"Rakan mangsa bagaimanapan berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut kepada tali kapal pasir, manakala mangsa hilang," katanya.
Laporan kehilangan mangsa hanya dibuat oleh rakannya di Balai Polis Sebuyau selepas usaha mencari mangsa gagal.
utusanborneo.com.my/2022/04/21 |