
Anggota bomba membawa keluar mayat mangsa dari MPV tersebut.
KUCHING: Seorang lelaki warga emas disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Stutong Baru, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata, mangsa ialah Choo Siong Ang, 64, dari BDC, Stampin.
Menurutnya, mangsa ketika kejadian dikatakan memandu sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) dari arah Jalan Lapangan Terbang menuju ke Stutong.
"Kenderaan mangsa dikatakan terbabas ke laluan bertentangan dan mangsa telah disahkan meninggal dunia selepas diperiksa anggota paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS)," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mangsa dikeluarkan dari keretanya dengan bantuan dari anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak.
Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
utusanborneo.com.my/2022/04/21 |