
Anggota bomba melawat kawasan hakisan tebing sambil menasihati penduduk supaya berwaspada.
LAWAS: Masalah hakisan tebing di Kampung Baru Mission dekat sini semakin membimbangkan dan hampir meranapkan jalan utama susulan hujan lebat melanda malam kelmarin.
Keadaan hakisan itu terletak kira-kira hanya satu kaki dari jalan utama berbanding kira-kira satu meter dari jalan itu sebelum ini.
"Ia berlaku begitu pantas kerana hujan lebat malam tadi (kelmarin). Hakisan adalah kira-kira satu meter dari jalan utama tetapi hari ini jaraknya hanya satu kaki," kata seorang penduduk kampung, Edwin Meru, 37, di sini semalam.
Susulan kejadian terbaharu itu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas turut meninjau keadaan awal pagi semalam.
Ketua BBP Lawas Azman Ibrahim ketika dihubungi berkata walaupun berlaku hakisan, tiada notis pemindahan dikeluarkan kepada penduduk setakat ini.
“Bagaimanapun, kami menasihati penduduk di situ supaya sentiasa berwaspada dan memantau pergerakan tanah terutama ketika hujan.
“Bomba juga menasihati ibu bapa supaya melarang anak mereka daripada bermain berhampiran kawasan hakisan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata bomba turut menasihati penduduk di situ supaya menghalang kenderaan jentera berat melalui jalan tersebut.
Katanya, Bomba Lawas bersedia sepenuhnya sekiranya timbul keperluan untuk pemindahan dan menasihati penduduk supaya melaporkan segera jika terdapat sebarang kecemasan.
Beberapa penduduk kampung ketika ditemui mendakwa telah memanjangkan perkara itu beberapa kali kepada pelbagai jabatan untuk penyelesaian jangka panjang berdekad-dekad lamanya, namun sehingga kini mereka masih belum mendapat sebarang maklum balas positif.
Justeru, mereka berkata satu-satunya cara ialah meminta campur tangan kerajaan negeri.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga ADUN Bukit Sari ketika dihubungi berkata sebelum ini, terdapat usaha membina tembok penahan di Kampung Baru Mission tetapi kedua-dua projek itu gagal.
“Ia (dua projek tembok penahan) semuanya gagal kerana arus deras membawa kepada hakisan serius.
“Bulan lalu, semasa Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) mengadakan taklimat di Lawas, saya meminta mereka melihat cara-cara bagaimana mengurangkan kawasan terjejas supaya kita dapat mengelak daripada hakisan teruk,” katanya.
Awang Tengah berkata, beliau juga meletakkan sebagai keutamaan projek pembesaran kampung untuk Kampung Baru Mission di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
"Tapak itu (untuk pembesaran kampung) dikenal pasti lebih jauh dari jalan, tetapi dalam lokaliti yang sama," katanya.
utusanborneo.com.my/2022/04/24 |