Edited by Vellfire at 24-4-2022 04:42 PM

Uggah (tengah) semasa mengadakan lawatan ke pejabat kontraktor dan tapak pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak hari ini.
BINTULU: Syarikat pembinaan di negeri ini disaran agar mendapatkan lebih ramai tenaga kerja tempatan bagi mengisi pelbagai jawatan dalam syarikat termasuk memberi latihan kemahiran terbaharu kepada mereka.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pada masa sama ia bagi memastikan tenaga kerja tempatan sentiasa diberi keutamaan dalam mengisi pelbagai jawatan dalam syarikat sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada anak jati negeri ini.
"Pada masa sama, pengambilan lebih ramai warga tempatan bagi mengisi kekosongan dalam sektor pembinaan membantu menyelesaikan masalah kekurangan pekerja dalam sektor pembinaan sekali gus membantu mempercepat penyiapan sesebuah projek pembinaan di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri taklimat mengenai status pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak menyeberangi muara Sungai Kemena di pejabat kontraktor di sini hari ini.
Difahamkan jambatan dibina PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd dan China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd melibatkan kos sejumlah RM467 juta itu dijangka siap pada 28 September 2023 nanti.
Uggah berkata pengambilan lebih ramai tenaga kerja tempatan membolehkan negeri ini menambah lebih ramai tenaga kerja terlatih dalam sektor pembinaan melalui latihan intensif diberikan.
"Ia dalam masa sama turut mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing sebagaimana dipraktikkan selama ini," jelasnya.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datu Safri Zainudin.
utusanborneo.com.my/2022/04/23 |