Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ooi Choo Huck berkata, malahan vaksin berkenaan telah diberi kelulusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Bagi pelanjutan tempoh jangka hayat daripada enam bulan kepada sembilan bulan untuk bebuli (vial) vaksin yang disimpan pada suhu -90°C sehingga -60°C, iaitu tambahan tiga bulan daripada tarikh asal yang dicetak pada label vial.
“Cetakan tarikh luput pada vial bernombor kelompok FK9414 adalah 02/2022.
“Tarikh luput asal adalah pada 28 Februari 2022 dan tarikh luput baharu adalah pada 31 Mei 2022,” katanya.
Menurut Dr Ooi sehubungan dengan itu, vaksin tersebut adalah selamat digunakan sehingga 31 Mei 2022.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai video yang tular di media sosial baru-baru ini berkenaan isu pemberian vaksin yang telah melepasi tarikh luput.
Menurut beliau untuk makluman, penentuan jangka hayat produk farmaseutikal termasuk vaksin COVID-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan oleh pihak pengilang.
“Ujian tersebut dijalankan pada masa nyata (real-time) untuk suhu penyimpanan yang tertentu.
“Vaksin COVID-19 telah dibangunkan dalam jangka masa yang singkat (kurang daripada dua tahun) sebagai tindak balas kepada wabak tersebut berbanding tempoh pembangunan biasa sesuatu produk farmaseutikal,” katanya.
Beliau berkata maka tempoh ujian dijalankan untuk menentukan jangka hayat vaksin adalah terhad.
Pihak pengilang hanya dibenar meletakkan tarikh luput berdasarkan tempoh kestabilan vaksin itu telah diuji pada masa nyata dan bukan secara ekstrapolasi.
Sekiranya pihak pengilang mempunyai data tambahan setelah ujian lanjut dijalankan, permohonan pelanjutan jangka hayat vaksin akan dikemukakan kepada NPRA untuk dinilai.
“Orang awam bolehlah melayari laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara
https://www.npra.gov.my berkenaan informasi nombor kelompok yang terlibat (Consumers > Vaccine Lot Release: Lot Release Certificate).
“Justeru, orang ramai diminta tidak meragui keselamatan vaksin yang diterima.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sentiasa komited dalam memastikan vaksin COVID-19 adalah berkualiti, selamat dan berkesan serta tidak berkompromi dari segi keselamatan vaksin yang diberikan kepada orang ramai,” katanya.
Beliau memberitahu, pemantauan berterusan termasuk aspek penyimpanan serta tarikh luput vaksin sentiasa dilakukan untuk memastikan vaksin COVID-19 adalah berkualiti, berkesan dan selamat digunakan.
utusanborneo.com.my/2022/04/27