KUCHING: Lelaki berusia 54 tahun dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana sengaja menumbuk kepala seorang pemuda sehingga membawa kecederaan.
Tertuduh Saini, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Zaiton Anuar menetapkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.
Mengikut pertuduhan, dia sengaja melakukan kecederaan terhadap Nik Azizie Apandi, 27, di sebuah rumah di Kampung Jawa Semenggok, batu 12, Jalan Kuching-Serian, kira-kira jam 4.30 petang, 26 Ogos 2021.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu yang berada di kediaman mereka melihat abangnya (mangsa) dibawa oleh jirannya dalam keadaan tidak bermaya dengan keadaan hidung berdarah, kesan luka di bahagian kaki dan lebam di kepala.
Kemudian, pengadu bersama sepupu dan ibunya membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Setiba di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Pengadu kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki abangnya telah dipukul dan dicekik oleh orang yang tidak dikenali.
Sehari selepas kejadian, pihak polis telah menahan dua orang lelaki kerana dipercayai terlibat dalam kes mencederakan mangsa.
Hasil siasatan melalui keterangan yang mencukupi, tertuduh didapati sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan menumbuk di bahagian kepala.
Laporan ujian bedah siasat menyatakan mangsa mengalami kecederaan di atas dahi kepala, dan pakar forensik mendapati kecederaan di bahagian tersebut akibat benda tumpul.
Selain itu, kecederaan luar yang dialami mangsa adalah tidak serius hingga boleh menyebabkan kematian walaupun kecederaan di bahagian kepala lebih besar.
Selain daripada itu, saksi kejadian melihat dan mengecam tertuduh telah menumbuk di bahagian kepala mangsa dalam keadaan mangsa tidak bergerak ataupun melawan.
Difahamkan, mangsa mempunyai masalah mental sering mengamuk, merosakkan harta benda orang awam dan menganggu ketenteraman orang awam.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
by Suara Sarawak
April 27, 2022 |