KUCHING: Sarawak merekodkan trend penurunan bagi kes baharu dan kematian dengan kapasiti hospital yang semakin baik dalam tempoh fasa peralihan ke endemik.
Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ooi Choo Huck berkata dalam tempoh fasa peralihan ke endemik sebanyak 6,839 kes baharu dan 41 kes kematian COVID-19 dilaporkan pada 1 April sehingga 28 April 2022.
Katanya ia berbanding 38,529 kes baharu dan 61 kes kematian dilaporkan pada bulan Mac 2022.
“Kadar penggunaan katil bukan ICU pada 26 peratus dan penggunaan katil ICU pada 10 peratus pada Minggu Epid ke-16 (iaitu 17 April 2022 sehingga 23 April 2022), berbanding dengan 40 peratus dan 36 peratus pada Minggu Epid ke-13 (27 Mac 2022 sehingga 2 April 2022).
“Statistik ini menunjukkan trend penurunan bagi kes baharu dan kes kematian dengan kapasiti hospital yang semakin baik,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dr Ooi berkata ia secara tidak langsung menunjukkan situasi pandemik COVID-19 yang semakin pulih di Sarawak.
Katanya hal berkenaan dapat dicapai susulan dari keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam, termasuk program vaksinasi COVID-19 dalam menguruskan penularan jangkitan COVID-19 di Sarawak.
Beliau memberitahu setakat 26 April 2022, Sarawak telah mencapai peratusan liputan vaksin bagi seluruh populasi Sarawak pada 80.6 peratus.
“Peratusan liputan dos kedua bagi populasi dewasa, iaitu berusia 18 tahun ke atas adalah 91 peratus dan bagi remaja berusia 12 sehingga 17 tahun adalah 93.1 peratus.
“Manakala, pencapaian peratusan liputan dos pertama bagi populasi kanak-kanak berusia 5 sehingga 11 tahun adalah 79.7 peratus,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/04/29 |