KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) akan terus bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19 semasa perayaan.
Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ooi Choo Huck berkata ia berikutan dengan pengumuman kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuatkuasa mulai 1 Mei 2022.
Selain itu ujar beliau sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma yang kemungkinan peningkatan kes COVID-19 di Sarawak boleh berlaku.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes. Ia termasuk meningkatkan liputan vaksinasi COVID-19 yang tinggi di negeri Sarawak untuk semua kumpulan sasar dan pemberian dos penggalak COVID-19 kedua kepada individu berisiko tinggi.
“Menyediakan bekalan ubat antiviral COVID-19 yang telah ditempatkan di hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata selain itu memastikan bilangan katil ICU yang mencukupi berserta Hospital Medan yang telah wujud di Hospital Sibu.
Tambahnya JKNS juga akan mengekalkan kapasiti ujian yang tinggi di makmal kerajaan dan swasta serta penggunaan rapid test kit sebagai ujian pengesanan COVID-19.
Beliau menyeru orang ramai agar tidak leka dan terus mengamalkan langkah pencegahan seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Langkah-langkah pencegahan yang perlu diamalkan adalah seperti, pemakaian pelitup muka apabila berada di dalam kawasan bangunan.
“Ia termasuk gedung membeli-belah dan pengangkutan awam serta e-hailing, pemakaian pelitup muka juga digalakkan di kawasan luar bangunan terutamanya bagi individu yang bergejala atau berisiko tinggi, semasa melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko dan juga semasa berada di tempat yang ramai orang atau sesak,” tegasnya.
Dr Ooi berkata selain itu, amalan menjaga kebersihan tangan juga harus dipelihara.
Beliau memberitahu ia kerana amalan tersebut membantu dalam pencegahan penyakit COVID-19 dan juga penyakit lain terutamanya penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
“Bagi golongan yang layak tetapi belum menerima vaksin, silalah segera ke klinik kesihatan terdekat untuk mendapatkan vaksin.
“Sebagai peringatan, tarikh akhir pemberian vaksin COVID-19 dos pertama di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) adalah pada 15 Mei 2022,” katanya.
Dr Ooi berkata jabatan juga akan terus memantau situasi COVID-19 di dalam dan di luar negara serta komited meningkatkan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bagi lonjakkan kes COVID-19.
utusanborneo.com.my/2022/04/29 |