BUKIT MERTAJAM: GERAKAN dijangka menerima senarai calon berserta kerusi yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) daripada semua negeri minggu hadapan.
Pengerusi negeri diarah menyenaraikan nama calon serta kawasan untuk dikemukakan pada mesyuarat Perikatan Nasional (PN).
Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau, berkata setakat ini hanya lima negeri yang menyerahkan senarai nama serta kawasan untuk ditandingi.
"Bagi negeri-negeri lain mereka masih memerlukan masa, tambahan pula sekarang masih 'mood' raya, disamping situasi politik negara yang tidak menentu yang mana kita jangka dapat terima senarai dari semua negeri minggu hadapan.
"Apa yang ingin ditekankan, ini hanya hasrat... yang kita minta semua pengerusi perhubungan negeri atau penyelaras dapat senaraikan nama calon serta kawasan yang ingin mereka tandingi.
"Kita akan bawa ke mesyuarat PN yang di situ satu keputusan akan dibuat sama ada senarai calon serta kawasan yang dikemukakan boleh bertanding atau tidak pada PRU-15," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui mengagihkan bunga sempena sambutan Hari Ibu di Bukit Tengah, di sini, semalam.
Ditanya negeri yang sudah menyerahkan senarai, Lau enggan mendedahkannya berikutan ingin memberi keadilan kepada negeri lain yang belum berbuat demikian.
Mengulas lanjut, Lau berkata, GERAKAN mahu bangkit semula menawan Pulau Pinang pada PRU-15.
"Di Pulau Pinang, GERAKAN adalah parti yang memainkan peranan sangat penting kerana negeri inilah kita pernah berkuasa selama 39 tahun sebelum jatuh tanpa sebarang kerusi pada PRU-12, kira-kira 14 tahun yang lalu.
"Bahkan Pulau Pinang akan kekal sebagai negeri 'barisan hadapan' GERAKAN yang kita akan bangkit semula," katanya.
Sementara itu, Lau berkata hubungan GERAKAN dengan parti komponen lain dalam PN khususnya BERSATU dan PAS kini semakin rapat selepas melalui beberapa pilihan raya negeri (PRN) termasuk Melaka dan Johor.
"Semua parti komponen dalam PN memainkan peranan yang berlainan. Sebagai contoh, dalam PN, kita (GERAKAN) akan memberi fokus kepada kelompok bukan Melayu dan bukan Islam walaupun dalam PN sendiri BERSATU juga memiliki sayap bersekutu (memberi fokus kepada golongan bukan Bumiputera) dan PAS pula dengan DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS).
"Apapun, kita akan teruskan dengan proses untuk merapatkan hubungan sesama kita dan arahan juga telah dikeluarkan untuk kita mengadakan majlis berbuka puasa dan jamuan hari raya secara bersama," katanya.