NIBONG TEBAL: Empat cedera dan tiga rumah di Taman Cenderawasih, di sini rosak dengan sebahagian struktur dinding runtuh akibat letupan gas memasak dari sebuah rumah, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 9.57 malam.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhgas02_1652069354.jpg)
Struktur bumbung rumah yang rosak akibat letupan tong gas memasak di Taman Cenderawasih, Nibong Tebal, malam tad. - FOTO BOMBA
"Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiga rumah yang setiap satu berkeluasan kira-kira 74 meter persegi mengalami kemusnahan antara 10 hingga 70 peratus pada beberapa bahagian.
"Kemusnahan itu seakan terkena bahan letupan pada bahagian bumbung dan dinding rumah yang berkemungkinan berpunca daripada kebocoran gas memasak," katanya dalam kenyataan, hari ini.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhgas03_1652069353.jpg)
Keadaan rumah yang rosak akibat letupan tong gas memasak di Taman Cenderawasih, Nibong Tebal, malam tadi. - FOTO BOMBA
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh, memaklumkan terdapat empat penghuni dilaporkan mengalami kecederaan dalam insiden itu.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhgas04_1652069350.jpg)
Struktur bumbung rumah yang rosak akibat letupan tong gas memasak di Taman Cenderawasih, Nibong Tebal, malam tad. - FOTO BOMBA
Difahamkan, semua mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).