|
Zulkernai Fauzi
Kota Bharu: Antara 30,000 hingga 50,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Guru Malaysia (FGM) 2022 yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bermula semalam sehingga Isnin ini.
Pengarah Pendidikan Kelantan, Zulkernai Fauzi berkata, FGM 2022 dianjurkan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang mana pada tahun ini, Kelantan dipilih sebagai tuan rumah, buat kali pertama.
Katanya, jangkaan pengunjung itu bersesuaian dengan penganjuran FGM yang berbentuk festival selama lima hari yang memberi peluang kepada warga pendidik, pelajar dan masyarakat untuk memeriahkan penganjuran.
"Kita di Kelantan ada cuti pada hari ini (Jumaat) dan Sabtu. Jadi, dalam tempoh itu saya jangka lebih ramai guru, pelajar dan masyarakat akan datang ke program kita ini.
"Selain itu, kita juga akan menerima kehadiran daripada rakan strategik dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke festival ini," katanya.
Zulkernai berkata, Kelantan amat bertuah kerana dipilih sebagai tuan rumah kepada Sambutan Hari Guru tahun ini dan pastinya peluang keemasan itu tidak akan dilepaskan untuk menonjolkan keunikan negeri ini.
"Antara kelainan yang akan dibawa dalam FGM kali ini ialah menonjolkan keunikan seni budaya kepada warga pendidik daripada luar Kelantan seperti dikir barat, gendang, batik dan sebagainya.
"Menerusi festival ini, warisan seni budaya Kelantan didedahkan kepada masyarakat luar sana, selain menjadi medan kepada guru di negeri ini mendedahkan segala inovasi yang mereka hasilkan kepada pihak luar.
"FGM juga akan diisi dengan pelbagai program lain. Anak-anak dan sekolah boleh tunjukkan bakat dan kebolehan mereka," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -meriahkan-fgm-2022 |
|