|
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah (tengah) diiringi Ahli Parlimen Narathiwat, Bilal (kiri) dan Pegawai Daerah Golok, Anirud Buaon (dua kiri) ketika meninjau Stesen Kawalan Sempadan pintu masuk Kompleks ICQS Rantau Panjang. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
RANTAU PANJANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menjangkakan 1,000 kenderaan persendirian dari Thailand akan masuk ke Kelantan pada hari minggu, susulan kebenaran kenderaan asing merentas Malaysia-Thailand, mulai 1 Jun ini.
Pengarah, Mohd Misuari Abdullah, berkata, pada hari biasa, pihaknya menjangkakan 150 kemasukan kenderaan ke Kelantan setiap hari.
Katanya, kemasukan kenderaan asing itu menerusi tiga pintu utama di Kelantan iaitu Stesen Kawalan Sempadan JPJ Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga.
"Ini yang kita jangkakan mulai 1 Jun ini selepas sekian lama penutupan sempadan dan sebelum ini walaupun sempadan dibuka, kemasukan kenderaan asing masih tidak dibenarkan.
"Semua kenderaan persendirian asing yang ingin memasuki negara ini perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Pas Kawalan Sempadan yang dikeluarkan adalah tertakluk kepada tempoh masa kebenaran masuk yang dikeluarkan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Stesen Kawalan Sempadan Rantau Panjang di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Narathiwat, Bilal dan Pegawai Daerah Golok, Anirud Buaon.
Mohd Misuari berkata, Stesen Kawalan Sempadan JPJ akan mengeluarkan Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) dengan syarat pemohon mengemukakan dokumen yang ditetapkan dan lulus pemeriksaan kenderaan.
"Dokumen yang diperlukan bagi tujuan pengeluaran ICP termasuklah borang permohonan Permit Peredaran Antarabangsa (JPJK9), Borang Pengisytiharan Penumpang (JPJK9A), salinan pasport pemohon (pemandu/pemilik), salinan sijil perakuan pendaftaran kenderaan dan sebagainya.
"Pengembara juga diingatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
"Diharapkan menerusi kebenaran masuk kenderaan asing ini juga dapat merancakkan lagi pembangunan ekonomi kedua-dua negara," katanya.
Sementara itu, Bilal berharap kedua-dua negara dapat memudahkan proses keluar masuk kenderaan, sekali gus merancakkan semula ekonomi sama ada di Thailand atau Malaysia.
"Pihak kami menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberi kelonggaran dan kebenaran kemasukan kenderaan.
"Rakyat Malaysia juga tidak perlu bimbang dan takut dengan insiden serangan di Tak Bai, baru-baru ini kerana keselamatan pelancong terutama di Golok adalah selamat," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... elantan-hari-minggu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|