
Anggota bomba berusaha mengeluarkan pemandu terbabit.
BINTANGOR: Seorang pemandu tercedera setelah kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan dalam kemalangan jalan raya di Batu 5, Jalan KJD, berhampiran Sungai Selabi dekat sini, malam Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, kemalangan ini dipercayai berlaku sekitar jam 9 malam.
"Sejurus menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden tersebut pada jam 9.15 malam, sepasukan anggota bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang sejauh 28 kilometer dari balai.
"Ketika anggota bomba tiba di lokasi kejadian, anggota mendapati salah seorang daripada pemandu kereta terbabit telah tersepit di tempat duduk manakala seorang lagi pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Berdasarkan situasi tersebut, anggota bomba telah bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan usaha tersebut telah mengambil masa satu jam," kata Nicholas dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
"Sejurus berjaya dikeluarkan, pemandu kereta yang tersepit dan tercedera tersebut telah diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya.
Menurut Nicholas, kedua-dua kenderaan terbabit dipercayai datang dari arah bertentangan.
"Setelah berjaya mengeluarkan mangsa yang tersebit, pihak bomba telah bertindak membersihkan sisa-sisa kemalangan bagi memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat dan tidak mendatangkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain," ujar Nicholas lagi.
utusanborneo.com.my/2022/06/02 |