Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan dua perkara kepada penganjur Festival Bon Odori iaitu memastikan isi sambutan festival itu tidak bersifat agama dan tidak dimasukkan unsur khurafat.
Jelas beliau, pada masa sama, penganjur juga tidak boleh memasukkan ritual yang mewakili kepercayaan tertentu.
![](https://uf.cari.com.my/forumx/mforum/portal/202206/10/214507p1mzjwzzupw6wtmn.jpg) IG Dr MAZA
“Jika boleh, diberikan nama baru atau nama tambahan di samping nama Bon Odori bagi mengelakkan kekeliruan dengan perayaan asal yang mempunyai unsur syirik dan khurafat.
“Ini seperti menamakan festival kebudayaan Jepun, atau masyarakat Jepun. Dengan itu, festival dapat diteruskan dan polemik dapat dikurangkan,” katanya di hantaran Facebook hari ini.
Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad hadir ke Festival Bon Odori yang akan diraikan pada 16 Julai ini.
Syor baginda itu supaya menteri berkenaan dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya kerana festival berkenaan adalah perayaan kebudayaan yang sudah diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun lalu.
Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah, Bon Odori dirai bagi mengeratkan semangat muhibbah di antara rakyat Malaysia dengan komuniti Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.
“Sultan Sharafuddin mencadangkan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk hadir ke festival berkenaan pada 16 Julai ini supaya dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya.
“Malah baginda juga tidak mahu beliau (menteri) menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasi JAKIM,” menurut kenyataan itu.
Sumber: MalaysiaGazette
|