|
Tumpat: Impian Thaan Neet Bunprakop atau mesra disapa Net adalah menyambung pengajian dalam bidang pertanian bagi merealisasikan cita-citanya yang mahu menjadi petani moden.
Bagaimanapun, lain pula kisahnya apabila Net, 28, menerima tawaran belajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda Program Ekonomi Rumah dalam Makanan dan Nutrisi (Perniagaan Makanan) Universiti Teknologi Rajamangala, Srivijaya, Songkhla, Thailand pada 21 Julai 2016.
Menariknya, Net yang kini menetap di Kampung Dalam, di sini satu-satunya rakyat Malaysia yang diterima belajar dalam kursus berkenaan ketika itu.
"Sebelum menyambung pengajian di Thailand, saya terlebih dahulu belajar di peringkat Diploma Pengurusan Hotel & Catering di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (KTAC) di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur.
"Perancangan asal saya adalah menyambung pengajian ijazah di universiti tempatan saja dalam bidang pertanian namun tiada rezeki hingga satu tahap saya hampir putus asa juga sebenarnya untuk belajar.
"Melihat seorang rakan yang juga junior dapat tawaran belajar di Thailand, saya cuba nasib dan tak sangka pula diterima masuk," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia tiada masalah untuk berkomunikasi kerana ada asas bahasa Thailand kerana berketurunan Siam.
Cuma, ada beberapa dialek yang sukar difahami dan Net juga ada masalah menulis kerana sudah tiga tahun tidak mempraktikkannya.
"Apabila tidak dapat menulis jadi ia mendatangkan masalah untuk menjawab peperiksaan namun mujurah saya diberi kelonggaran tulis dalam Bahasa Inggeris atau jawab dalam lisan.
"Empat bulan juga saya ambil masa sesuaikan diri terutama dengan budaya masyarakat di sana.
"Pergaulan dengan rakan tiada masalah kerana mereka sangat ramah dan yang melucukan apabila motosikal saya penuh dengan hadiah pemberian pelajar wanita," katanya.
Net di peringkat Ijazah Sarjana Muda Program Ekonomi Rumah dalam Makanan dan Nutrisi (Perniagaan Makanan) Universiti Teknologi Rajamangala, Srivijaya, Songkhla, Thailand.
Di samping teori diajar dalam sesi kuliah, Net mengakui mendapat ilmu memasak secara percuma daripada rakan kampus dan juga pensyarah.
Katanya, perkongsian mereka itu amat membantunya hingga kini, dia mahir menghasilkan masakan Thailand termasuk hidangan pencuci mulutnya.
"Selain nutrisi dan sains makanan, saya juga perlu mengambil subjek memasak makanan Thailand , pencuci mulutnya juga hidangan barat.
"Dalam kelas, pensyarah akan mengajar teknik yang betul malah rakan kampus juga tidak lokek memberi tip memasak jadi daripada situ saya dapat ilmu bermanfaat.
"Salah satu makanan Thailand yang rumit untuk dihasilkan adalah kari hijau kerana penyediaan rempahnya namun saya berasa bertuah kerana berpeluang mempelajari cara menghasilkannya," katanya yang juga sudah mahir menghasilkan puding ros iaitu salah satu pencuci mulut popular di Thailand.
Menurut Net, dia sudah menamatkan pengajian dengan majlis konvokesyen pada 9 Oktober 2018 dan kini membantu keluarganya menjalankan perniagaan dengan mengambil tempahan membuat kek.
"Selain itu, saya juga jual pencuci mulut Thailand dan saja kongsikan beberapa resipi makanan Thailand di TikTok termasuk perjalanan menyambung pengajian di sana.
"Tak sangka pula video perkongsian saya meraih tontonan tinggi dan maklum balas positif.
"Jika ada rezeki, saya mahu menyambung pengajian peringkat Sarjana Perkhidmatan Makanan kemungkinan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... t-perhatian-metrotv |
|