View: 363|Reply: 0
|
[Kelantan]
Syarikat pembekal diesel dalang utama
[Copy link]
|
|
Tanah Merah: Polis merampas 97,780 liter diesel bernilai RM210,227 dalam dua serbuan berasingan di sini, dan Machang, pada 2 pagi hari ini.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan berkenaan membabitkan kegiatan haram yang dilakukan sebuah syarikat pembekal diesel di Tanah Merah yang membeli diesel bersubsidi dan bukan dengan harga minyak industri seperti ditetapkan oleh kerajaan.
Katanya, rampasan itu dibuat hasil serbuan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHNHEP) negeri Kelantan.
"Ketika serbuan kami menemui empat lelaki sedang melakukan proses memindahkan diesel menggunakan mesin penyedut daripada lori ke enam tangki simpanan statik.
"Setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa, seorang daripada mereka melarikan diri manakala dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 50 tahun serta seorang warga Bangladesh berusia 34 tahun ditahan.
"Susulan itu, anggota melakukan serbuan di sebuah stesen minyak di Kampung Kuin, Machang pada 3.15 pagi dan mengesan lima lelaki bersama tiga lori serta sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan," katanya selepas melawat lokasi rampasan minyak diesel di Kampung Tebing Tinggi, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Pemerintah PGA8, Superintendan Mat Shukor Yusof dan Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar.
Muhamad Zaki berkata, pemeriksaan mendapati kesemua suspek sedang memindahkan minyak dari tiga lori terbabit ke lori tangki sebelum disyaki dibawa ke lokasi syarikat pembekal minyak yang diserbu pada serbuan pertama.
MUHAMAD Zaki melihat tangki minyak pada salah sebuah lori yang diubah suai. FOTO Syaherah Mustafa.
"Kesemua lapan suspek ditahan pihak polis untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dan Machang bagi laporan lanjut.
"Diesel yang dirampas akan diserahkan kepada KPDHNHEP Kelantan untuk disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Berdasarkan dua serbuan ini, pihak polis mendapati mereka menggunakan modus operandi dengan membeli minyak bersubsidi menggunakan lori biasa yang tangki diubah suai bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum dipindahkan ke tangki statik di kilang utama.
"Kesemua diesel yang terkumpul kemudian dijual pada harga normal minyak industri kepada pemborong walaupun mereka sebenarnya membeli dengan harga diesel bersubsidi sekali gus memberi keuntungan besar kepada pelaku," katanya.
Menurutnya, syarikat pembekal diesel terbabit dipercayai sudah lama menjalankan kegiatan berkenaan, justeru pihaknya akan meneruskan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, hasil serbuan, pihaknya merampas lima lori, tiga mesin penyedut dan enam tangki statik dengan nilai keseluruhan hampir RM1 juta.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... alang-utama-metrotv |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|