
PESERTA: Karunanithy (tengah) bersama pasukan keselamatan yang terlibat dalam forum tersebut.
TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah komited membanteras kegiatan rasuah dalam kalangan penjawat awam khususnya pegawai dan anggota penguatkuasa di negeri ini.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy berkata pihaknya mengambil inisitif mengadakan forum antirasuah dalam kalangan penguatkuasa bagi membanteras jenayah terutamanya melibatkan rentas sempadan.
Katanya, pembudayaan antirasuah dalam kalangan penguatkuasa khususnya di Tawau sangat perlu kerana daerah ini sangat terdedah dengan aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Kita melihat daerah Tawau mempunyai banyak pintu masuk ataupun lorong tikus, yang sudah pastinya mendorong berlakunya aktiviti penyeludupan ataupun ketirisan barang kawalan.
“Ketirisan ini biasanya berlaku disebabkan wujudnya amalan rasuah dan ia boleh menyebabkan kerugian yang besar kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program ‘forum pembudayaan antirasuah penguatkuasa dalam pembanterasan jenayah rentas sempadan’, di sini hari ini.
Menurutnya, statistik pegawai dan anggota penguatkuasa yang terlibat dengan rasuah di negeri ini masih terkawal dengan hanya 11 tangkapan sepanjang 2019 hingga Julai 2022.
“Walaupun angka ini kecil, ia tidak bermaksud amalan rasuah dalam kalangan penguatkuasa rendah kerana mungkin masyarakat tidak tampil membuat laporan.
“Saya menyeru kepada masyarakat untuk tampil membuat laporan sekiranya berlaku amalan rasuah dalam kalangan penguatkuasa,” katanya.
Katanya, ketika ini, Sabah sedang diserang melalui pelbagai aktiviti haram seperti penyeludupan manusia, barang subsidi, dadah dan banyak lagi.
“Persoalannya, kenapa semua ini berlaku walaupun pelbagai agensi seperti Kastam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), ESSCOM, KPDNHEP, Maritim Malaysia dan Imigresen telah diwujudkan.
“Justeru, sebagai penjawat awam yang diberikan amanah dan tanggungjawab seharusnya berasa malu kerana penjenayah lebih berkuasa daripada kita,” katanya.
Karunanithy menegaskan sekiranya kita sayang negara, keluarga dan generasi akan datang, maka perlunya bertindak dari sekarang.
“Anggota penguatkuasa tidak boleh berpeluk tubuh dan berdiam diri dalam menangani isu sempadan terutamanya jenayah yang kerap berlaku di depan mata kita,” katanya.
Dalam pada itu, Karunanithy berkata SPRM bercadang untuk mengadakan forum ini di seluruh Sabah yang melibatkan semua pegawai dan anggota penguatkuasa yang ada.
“Selepas daerah ini, kami akan mengadakan forum yang sama di Kota Kinabalu dan Sandakan supaya semua pasukan penguatkuasa dapat membudayakan anti rasuah,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/07/14
|