|
Kota Bharu: Lelaki warga emas yang parah diserang babi hutan di Taman Desa Wangi, Kampung Kubang Siput di sini, mengakui masih trauma walau kejadian itu sudah sembilan hari berlalu.
Omar Ngah, 78, yang cedera di lengan kiri, bahagian kepala serta pipi kiri kerana digigit babi dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selama lima hari dan dibenarkan pulang ke rumah pada petang Aidiladha lalu.
Omar berkata, sepanjang enam hari berada di rumah, masih terbayang-bayang kejadian yang menimpanya pada pagi 6 Julai lalu memandangkan lokasi kejadian hanya beberapa meter sahaja dari rumahnya.
"Saya yang ketika itu ingin mengambil durian dari kebun langsung tidak sedar kehadiran seekor babi hutan yang sangat besar terus menyerang saya secara tiba-tiba.
OMAR yang cedera di lengan kiri, kepala serta pipi kiri digigit babi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
"Ketika cuba menepis serangan dengan tangan, babi hutan itu menggigit lengan kiri dan haiwan itu berterusan menyondol saya sehingga terjatuh ke dalam parit sedalam 0.5 meter.
"Selepas kejadian itu, memang rasa trauma dan serik untuk melalui lokasi itu malah anak dan cucu yang datang menziarah pun saya larang dari mendekati tempat itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Omar berkata, sepanjang berada di wad, kesakitan yang dialami akibat gigitan haiwan liar itu sangat dirasai terutama di bahagian lengan kirinya yang cedera ketika bergelut.
Katanya, setiap hari dia terpaksa meminta ubat tahan sakit kerana kecederaan akibat tusukan taring babi berdenyut luar biasa.
"Doktor hanya menjahit bahagian kepala dan pipi kiri sahaja manakala kecederaan di lengan kiri hanya dibalut kerana bimbang akan mendapat jangkitan kuman jika turut dijahit," katanya.
Susulan kejadian yang menimpa Omar, penduduk kampung dengan kerjasama pihak berwajib mengambil inisiatif memburu haiwan liar itu dan difahamkan lima ekor babi sudah ditembak.
Sebuah perangkap juga sudah dipasang oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan umpan hampas kelapa berhampiran lokasi mangsa diserang.
Seorang penduduk, Mohd Nizam Mohamad, 34, berkata, dia berasa sedikit lega kerana kebelakangan ini sudah tiada kelibat babi hutan kelihatan di persekitaran kampung.
"Jika sebelum ini memang kerap penduduk terserempak dengan babi hutan yang keluar mencari makan terutama pada waktu pagi dan petang.
"Sejak perangkap dipasang dan operasi memburu dijalankan, sudah tiada lagi kelibat haiwan liar itu sejak kebelakangan ini namun saya yakin ketiadaannya hanya bersifat sementara kerana habitatnya memang di kawasan ini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -luar-biasa-metrotv |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|