Kota Bharu: Bekerja sebagai penjaga tandas mungkin dianggap menjijikkan namun tidak bagi suami isteri berhati murni yang hampir 13 tahun berkhidmat menjaga tandas awam di Stesen Bas Lembah Sireh di sini.
Ibrahim Majid, 62, dan isteri, Zaharah Zakaria, 52, bagaikan sudah sebati dengan kerja berkenaan seperti mencuci, mengemop lantai selain memastikan orang ramai menggunakan tandas awam dengan sebaiknya.
Malah, pasangan berkenaan tidak pernah malu sebaliknya bangga menjadi antara pekerja yang paling lama bertahan untuk memikul tugas menjaga tandas, walaupun banyak cabaran terpaksa dilalui termasuk berhadapan dengan pelbagai ragam pelanggan.
Ibrahim berkata, setiap hari, seawal jam 4 pagi, mereka mula mencuci tandas awam berkenaan.
"Kami memulakan tugas seawal jam 4 pagi kerana pada waktu itu, sudah ada bas ekspres yang tiba di stesen ini.
"Bagi memastikan tandas di waktu pagi dalam keadaan baik, saya akan memastikan ia dicuci pada sebelah malam sebelum ditutup sepenuhnya iaitu sekitar jam 10 malam.
"Biasanya, saya yang bertanggungjawab mencuci tandas tidak kira di bahagian lelaki atau wanita manakala isteri akan berada di bahagian kaunter bayaran. Caj yang dikenakan ialah 50 sen dan jika mahu mandi, perlu membayar RM1," katanya ditemui di tandas awam berkenaan.
IBRAHIM dan isteri, Zaharah berkhidmat menjaga tandas awam di Stesen Bas Lembah Sireh, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Menurut Ibrahim, tandas di bawah jagaan mereka dibuka setiap hari termasuk pada Aidilfitri serta Aidiladha yang mana ia dibuka untuk tempoh sebentar pada sebelah pagi kerana ketika itu, stesen bas dipenuhi orang ramai.
Katanya, tandas hanya ditutup jika berlaku gangguan bekalan air.
Ibrahim yang juga bapa kepada tiga cahaya mata berkata, setakat ini, dia tidak pernah mengambil pekerja dan hanya menjaga tandas berkenaan sepenuhnya dengan isteri selain dibantu anak-anak jika ada yang berkelapangan.
"Tambahan pula, tidak ramai yang sanggup bekerja di tandas. Kami sendiri pernah ditertawakan namun tidak mengendahkannya kerana ia rezeki halal.
"Banyak pengalaman ditempuh sepanjang menjadi penjaga tandas termasuk menyelamatkan seorang wanita hamil yang tiba-tiba pengsan dan mengalami pendarahan teruk di dalam tandas ini.
"Kami sempat hubungi hospital sebelum ambulans tiba dan membawanya ke hospital," katanya.
IBRAHIM mula mencuci, mengemop lantai tandas seawal jam 4 pagi setiap hari.
Menurut Ibrahim, setiap hari, mereka bertemu dengan ramai orang dengan pelbagai ragam.
Katanya, ada kalangan mereka adalah pembersih, malah ramai juga yang pengotor sehingga sanggup membuang air kecil di merata tempat serta meninggalkan tuala wanita tanpa membuangnya di dalam tong sampah.
"Kami juga sentiasa menjaga tandas dengan baik sebagaimana yang disarankan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
"Malah, tandas di bawah jagaan kami pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Tandas Bersih anjuran MPKB-BRI," katanya.
Menurut Ibrahim, dia dan isteri akan terus menjaga tandas berkenaan selagi terdaya serta selagi diperlukan oleh MPKB-BRI.