
KENANGAN: Joachim (empat kanan) merakamkan gambar kenangan bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Jonathan Yassin (empat kiri).
KOTA KINABALU: Syarikat berkenaan perlu mengutamakan penghuni penjara yang bakal menyertai Sistem Parol dan Pembebasan Berlesen bagi mendapatkan pekerjaan adalah satu usaha murni.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam memberikan jaminan bahawa memandangkan penghuni penjara berkenaan merupakan warga Malaysia, maka pihaknya akan berusaha agar syarikat memberi keutamaan kepada mereka dari segi peluang pekerjaan sekali gus akan mengurangkan kebergantungan kepada buruh warga asing.
Katanya, kini sebanyak 11 syarikat Corporate Smart Internship (CSI) berkolabrasi dengan Jabatan Penjara di Sabah untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada banduan.
Menurutnya, jumlah berkenaan tidak termasuk peluang pekerjaan yang disediakan ladang sawit dimiliki pihak FELCRA serta 20 syarikat kecil yang turut berbuat demikian.
"Saya berasa bangga kerana terdapat syarikat yang dimiliki oleh bekas banduan turut membantu dalam usaha untuk Program Pemulihan Luar tembok ini.
“Saya dimaklumkan pemilik syarikat tersebut turut bersama dengan kita pada pagi ini. Tahniah kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana telah membuktikan bahawa program pemulihan yang dibuat selama ini telah menampakan hasil.
"Ia sekali gus mengurangkan stigma masyarakat bahawa bekas penghuni tidak boleh berubah serta tidak insaf. Diharap ianya dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap bekas banduan," katanya ketika merasmikan Program Outreach KJP bersama CSI dan majikan di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berharap agar lebih ramai lagi bekas banduan yang berjaya pada masa akan datang.
Katanya, kerajaan negeri khususnya kementerian beliau sentiasa bersedia membantu dari segi khidmat bimbingan kepada penghuni untuk memulakan perniagaan sebagai usahawan di pelbagai sektor industri.
“Saya akan mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk membuat tindakan susulan ke atas perkara ini.
"Oleh itu saya mohon Jabatan Penjara Negeri untuk mengadakan sebuah sesi perjumpaan dengan semua syarikat swasta di bawah seliaan saya untuk mendapat maklumat lanjut,” katanya.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/07/29/banduan-diberi-pekerjaan-melalui-sistem-parol-pembebasan-berlesen |