
KUCHING: Kreativiti yang dipamerkan dalam penghasilan makanan oleh para peniaga menjadi tarikan utama pengunjung datang ke Festival Makanan Kuching 2022.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, meskipun terdapat keluhan segelintir pihak mengenai harga makanan dan kesukaran mencari tempat letak kereta tetapi masih ramai pengunjung yang datang ke festival tersebut.
“Ini kerana kebanyakkan gerai terutama sekali yang dimiliki golongan muda menawarkan makanan yang dihasilkan dengan kreativiti dan ada dalam kalangan mereka hanya menjualnya setahun sekali.
“Jadi jika anda (orang ramai) melepas peluang ini, anda perlu menunggu tahun hadapan untuk mendapatkan makanan itu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis perasmian Festival Makanan Kuching 2022 di Panggung Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dekat sini, malam tadi.
Sehubungan itu, beliau menambah tidak semua pemilik gerai di festival tersebut menjual makanan demi mendapatkan keuntungan semata-mata.
“Tahun ini juga, terdapat makanan kreatif baharu yang dijual oleh para peniaga termasuk durian goreng, aiskrim goreng dan banyak lagi,” ujarnya.
BERUCAP… Kui Hian berucap sempena majlis perasmian Festival Makanan Kuching 2022 di Panggung MBKS dekat sini, malam tadi. (F: Alif Noni)
https://sarawakvoice.com/2022/08/03/mari-kunjungi-festival-makanan-kuching-2022/ |