Edited by Vellfire at 5-8-2022 01:10 AM

Serpihan logam (gambar kecil) yang dijumpai di kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Kampung Kuala Nyalau, Samalaju pada pagi Isnin.
KUCHING: Agensi yang ditugaskan untuk memantau aktiviti atau fenomena di ruang angkasa negara perlu mempunyai mekanisme tertentu bagi membolehkan pihak berkenaan mendapat maklumat awal tentang apa jua kemalangan yang berlaku di ruang angkasa negara.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni berkata usaha ini penting supaya maklumat yang diperolehi lebih awal itu dapat disebarkan segera kepada orang ramai di seluruh negara.
“Kita bersyukur kerana kejadian serpihan roket Long March 5B milik China yang dilaporkan melintasi ruang udara negeri ini tengah malam Ahad lalu tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
“Namun usaha perlu dilakukan agar kejadian seperti ini tidak menimbulkan keresahan penduduk atau mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda,” katanya sebagai mengulas mengenai kejadian itu.
Tambah Dr Hazland, meskipun ramai penduduk yang berasa teruja dan bertuah apabila menyaksikan cahaya kesan daripada serpihan itu kerana menjangkakan adalah meteor, namun tidak kurang yang khuatir dan bimbang jika kejadian itu boleh menimbulkan bencana besar terhadap alam sekitar dan keselamatan awam.
Menurut laporan media, serpihan roket berkenaan terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan pergerakan serpihan yang terbakar berkenaan turut melintasi ruang udara negara.
Malah kesan serpihan juga dikesan di beberapa kawasan termasuk melintasi ruang udara sekitar Sarawak.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan serpihan itu adalah sebahagian daripada roket tersebut yang dilancarkan dari Pusat Pelancaran Angkasa Wechang, selatan China.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/08/04/agensi-perlu-mekanisme-dapat-maklumat-awal-insiden-di-ruang-angkasa-negara
|