View: 427|Reply: 0
|
[Terengganu]
Tulang tapak kaki hancur terpijak 'booby trap' tin susu
[Copy link]
|
|
Othman menunjukkan kesan kakinya terpijak jerangkap samar atau ‘booby trap’ yang dipasang pengganas komunis sehingga menyebabkan tulang di tapak kaki kanannya hancur. FOTO BERNAMA
Kuala Nerus: Insiden terpijak jerangkap samar atau 'booby trap' yang dipasang komunis sehingga menyebabkan tulang tapak kaki kanannya hancur, masih segar terpahat dalam ingatan wira negara ini meskipun kejadian itu sudah 48 tahun berlalu.
Berkongsi pengalaman ngeri itu kepada Bernama, pesara Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Othman Bashah Saleh, 74, berkata, kejadian berlaku ketika dia menjalankan rondaan di kawasan hutan di Baling, Kedah pada 1974.
"Jerangkap samar yang saya terpijak itu diperbuat daripada tin susu yang diisi dengan pelbagai objek tajam seperti kaca dan besi. Ketika terpijak jerangkap samar itu saya langsung tidak rasa apa-apa malah masih boleh bertempur dengan komunis.
"Sehinggalah apabila pasukan kami berlindung di satu kawasan, seorang kawan memberitahu kasut yang saya pakai terbelah dua. Selepas dibuka kasut tersebut baru sedar kaki saya berlumuran darah dan ketika itu barulah berasa sakit," katanya sambil ketawa ketika ditemui Bernama di kediamannya di Seberang Takir dekat sini.
Katanya, insiden itu meninggalkan parut sepanjang 7.6 sentimeter di tapak kakinya dan sejak itu dia sering berasa sakit dari kaki hingga ke pinggang terutama ketika musim hujan atau cuaca sejuk.
Othman Bashah berkata, dia juga tidak akan melupakan detik pilu apabila ketua platunnya berpangkat Leftenan Muda yang dipanggil Tuan Hamid, maut ditembak dari jarak dekat oleh pengganas komunis di depan matanya pada 1977.
Katanya, pada hari kejadian anggota platunnya yang menjalankan rondaan di Gunung Bintang iaitu di sempadan Kedah dan Perak, mahu mencari punca air sebelum terserempak dengan sekumpulan komunis yang sedang makan durian.
"Apabila komunis sedar kehadiran kami, mereka terus tembak Tuan Hamid yang ketika itu berada di depan saya. Pada waktu itu saya sempat meniarap di atas tanah dan seorang lagi rakan yang berada di belakang saya cedera terkena tembakan di paha," katanya sambil memberitahu seorang komunis berjaya ditembak mati dalam pertempuran itu.
Berbekalkan pengalaman mengharungi pelbagai cabaran dan halangan bergelar tentera daripada 1970 hingga 1990, anak jati Parit Buntar, Perak yang kini menetap di Terengganu itu menasihati masyarakat terutama golongan muda supaya tidak leka dengan arus kemodenan sebaliknya perlu berusaha berbakti kepada negara.
"Kalau zaman saya muda-muda dulu menyertai tentera merupakan satu cara untuk berbakti kepada negara bagi menghapuskan komunis yang masih ada walaupun selepas kita mencapai kemerdekaan.
"Walaupun sekarang tiada lagi ancaman komunis, mereka (golongan muda) masih boleh berbakti sebagai contoh ajak kawan-kawan bersihkan kubur. Nampak kecil tetapi pahala dan nilai sumbangan kepada masyarakat dan negara adalah besar," katanya.
Kini, selepas 32 tahun bergelar veteran ATM, warga emas itu yang menerima wang pencen lebih RM900 sebulan masih lagi 'berjuang' demi kelangsungan hidup dengan bekerja di kedai makan dengan gaji harian bersama isteri, Noriah Mohd Kassim, 73.
Kehidupan Othman Bashah yang mempunyai 13 cucu itu turut diuji apabila rumah yang disewanya di Kampung Telaga Daing di sini, hangus dalam kebakaran pada Jun 2016 menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang pada waktu itu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... booby-trap-tin-susu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|