|
Mohd Noor Azwan Mat Shor Nasir, 40, menunjukkan bahagian dapur dan bilik mandi serta lantai simen sudah pecah akibat rekahan hanya menunggu masa untuk runtuh ketika ditemui di Kampung Tanjong Kuala di sini, hari ini. Ia berikutan keadaan rumah mereka bila-bila masa sahaja boleh ranap disebabkan faktor tanah yang lembap dan mudah dinaiki air jika berlaku banjir, hujan atau kejadian air pasang seterusnya menjadikan persekitarannya bergenang. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR
TUMPAT: Sejak setahun lalu, empat beranak dari Kampung Tanjong Kuala di sini, hidup dalam keadaan berjaga-jaga dan tidak tenteram kerana rumah didiami mereka pada bila-bila masa saja boleh runtuh akibat struktur tanah yang lembap.
Ini kerana kawasan tapak rumah itu mudah dinaiki air jika berlaku banjir, hujan atau kejadian air pasang seterusnya menjadikan persekitarannya bergenang.
Keadaan itu menyebabkan keluarga Mohd Noor Azwan Mat Shor Nasir, 40, sentiasa dalam kebimbangan apabila banyak dinding dalam rumah retak, malah sebahagian ruang juga sudah runtuh.
Beliau berkata, sebelum mendiami rumah dibelinya sejak 17 tahun lalu itu, dia mengetahui terdapat satu alur anak sungai di sekitar kawasan itu, namun sudah terkambus dengan sisa kayu yang dibuang daripada kilang kayu berhampiran suatu ketika dulu.
"Sebelum ini kami berdepan persekitaran rumah digenangi air setiap kali hujan, banjir atau kejadian air pasang saja, namun itu pun sudah cukup membimbangkan kerana lama-kelamaan ia menyebabkan keadaan tanah menjadi lebih lembap.
"Keadaan semakin membimbangkan sejak tahun lalu apabila bahagian tangga hadapan dan pangkin runtuh, manakala tiang dalam rumah juga semakin senget.
"Dua minggu lalu pula, bahagian dapur dan bilik mandi serta tandas yang awalnya retak sedikit semakin teruk dan lantai simen sudah pecah kerana menurun mengikut keadaan tanah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau yang bekerja sebagai guru memandu berkata, sudah banyak perbelanjaan dikeluarkan untuk membaik pulih kerosakan yang berlaku, namun apabila keadaan semakin teruk, mereka hanya mampu bertahan dan pada masa sama berharap ada pihak membantu mengatasi masalah itu.
"Setiap kali terdengar bunyi seakan rekahan, kami cemas dan selepas diperiksa terdapat rekahan dan bahagian dapur rumah hanya menunggu masa untuk runtuh," katanya.
Mohd Noor Azwan berkata, permohonan memiliki rumah sudah dibuat kepada pihak berkaitan, namun alasan mempunyai ahli keluarga yang tidak ramai menyebabkan permohonan itu ditolak.
Katanya, beliau tidak mampu membina rumah sendiri kerana pendapatan tidak menentu, selain tanah didiami sekarang berstatus tanah rizab.
https://www.bharian.com.my/berit ... bila-bila-masa-saja |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|