CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 343|Reply: 0

[Pulau Pinang] Kemiskinan punca tiga beradik tidak bersekolah

[Copy link]
Post time 19-8-2022 03:41 PM | Show all posts |Read mode
Kemiskinan punca tiga beradik tidak bersekolah

Oleh Nur Izzati Mohamad - Ogos 19, 2022 @ 3:37pm  [email protected]





T Mogana Selvi, (dua dari kiri) bersama anak perempuannya yang OKU, S Teyanayagi, (kiri) dan anak lelakinya S Tharmarhaja, S Herash serta S Yeshwin, ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Ampang Jajar di sini.- Foto NSTP/DANIAL SAAD




BUTTERWORTH: Kesempitan hidup yang dialami menyebabkan seorang ibu di Ampang Jajar, di sini terpaksa mengambil keputusan memberhentikan persekolahan tiga daripada empat anaknya, sejak awal tahun ini.

T Mogana Selvi, 39, membesarkan empat anak yang berusia lapan hingga 15 tahun bersendirian selepas suaminya dipenjara empat tahun lalu.

Berikutan itu, katanya kehidupan mereka lima beranak menjadi sukar dan perit sehingga tiga anaknya tidak lagi bersekolah sekali gus tercicir dalam pelajaran.

"Sebelum ini, saya menyewa sebuah rumah di Jalan Mohd Saad, Bagan Jermal yang terletak kira-kira lima kilometer (km) dari rumah pangsa ini.

"Namun, rumah itu terbakar dalam kejadian Mei tahun lalu dan memaksa kami sekeluarga berpindah ke sini selepas memperoleh bantuan menduduki rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).

"Ketika tinggal di sana, ibu yang banyak membantu saya menguruskan anak kerana rumah kami dekat, tetapi sejak berpindah ke sini ia agak sukar bagi ibu yang berusia 67 tahun kerana dia perlu datang menaiki bas memandangkan tiada pengangkutan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Terdahulu, Mogana Selvi mendapat kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee yang menghulurkan bantuan barangan keperluan, peralatan elektrik dan wang tunai.

Mogana Selvi berkata, dia berasa berat hati membuat keputusan untuk memberhentikan tiga daripada empat anaknya dari sekolah namun terpaksa kerana buntu.

"Dua anak saya berusia lapan dan 10 tahun bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Jermal manakala yang sulung berusia 15 tahun bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Kastam, dekat dengan rumah sewa kami sebelum ini.

"Masalah pengangkutan dan tidak mampu membayar kos lain menyebabkan saya terpaksa ambil keputusan memberhentikan mereka.

"Hanya anak kedua saya berusia 13 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) berikutan mengalami masalah sawan otak dan hiperaktif masih bersekolah di Pusat Tunas Harapan (PEKTAS) di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan pengangkutan serta pelajarannya diuruskan pihak sekolah," katanya.

Mogana Selvi berkata, dia hanya bergantung kepada bantuan JKM sebanyak RM400 sebulan dan tidak dapat bekerja memandangkan perlu menjaga anak yang masih kecil termasuk seorang OKU.

Sementara itu, Lip Chee berkata, beliau akan menghantar borang pendaftaran kemasukan semula sekolah ke Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) untuk tiga anak Mogana Selvi.

"Pendidikan penting dan walaupun miskin ia tidak boleh dijadikan halangan. Kita akan berusaha membantu dengan menghantar borang seterusnya menguruskan keperluan lain untuk tiga beradik ini bersekolah semula.

"Pada masa sama, saya turut akan menyalurkan bantuan makanan pada setiap minggu bagi mengurangkan bebanan keluarga ini," katanya.






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-2-2025 05:21 AM GMT+8 , Processed in 0.030969 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list