Padang Besar: Sebanyak 830 liter diesel dan petrol bernilai RM3,066 yang disembunyikan dalam lima tong dram dirampas selepas polis menyerbu sebuah premis penyimpanan minyak diesel dan petrol diseleweng di Padang Besar semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Besar Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, serbuan dilakukan sekitar 1.30 tengah hari di Kampung Kolam, di sini dengan dibantu anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Perlis.
"Ketika serbuan dilakukan, kami menjumpai lima tong dram berisi minyak diesel dan petrol yang disorokkan dalam premis itu.
"Kita merampas diesel sebanyak 350 liter dan petrol sebanyak 480 liter, dua unit pam sedut minyak dan empat unit hos getah yang disimpan dalam stor penyimpanan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, hasil siasatan awal pihaknya mendapati premis berkenaan sudah beroperasi selama sebulan di kawasan itu.
"Siasatan masih diteruskan dengan pihak KPDNHEP berkaitan pemilik premis dan pengendali stor minyak haram berkenaan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.