
FOTO tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki disyaki melakukan perbuatan khianat terhadap sebuah rumah ibadat bukan Islam, di Batu Itam, Mukim 4, di sini. FOTO tular
Balik Pulau: Lelaki berusia 28 tahun yang disyaki kurang siuman ditahan susulan tular di media sosial perbuatan khianat terhadap sebuah rumah ibadat bukan Islam di Batu Itam, Mukim 4 di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kejadian berlaku pada jam 6.30 petang dan suspek ditahan sejurus polis menerima maklumat.
Katanya, penahanan suspek dilakukan susulan tular dua video berdurasi 21 dan 47 saat yang memaparkan seorang lelaki melakukan kerosakan di rumah ibadat berkenaan.
"Lelaki yang ditahan itu juga disyaki kurang siuman dan tidak bekerja. Suspek direman selama empat hari sehingga 24 Ogos bagi siasatan lanjut.
"Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 dan 427 Kanun Keseksaan.