
"CNS memahami kesukaran kewangan kerajaan dalam keadaan ekonomi semasa sejak masalah pandemik (COVID-19) dan endemik sekarang.” Omar Bahren Unin
Pengerusi CNS
Patricia Gari
KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Negeri Sarawak (CNS) teruja selepas kerajaan bersetuju agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.
Pengerusinya Omar Bahren Unin berkata ini kerana pelaksanaan sistem saraan yang baharu untuk penjawat awam antara perkara dituntut CUEPACS sebelum ini.
Sistem saraan masa kini merupakan Sistem Saraan Malaysia yang diugunakan selama 20 tahun sejak 2002.
Beliau bagaimanapun berkata CNS bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) kerana telah mengumumkan enam insentif kepada penjawat awam pada Selasa antaranya, tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023.
"CNS memahami kesukaran kewangan kerajaan dalam keadaan ekonomi semasa sejak masalah pandemik (COVID-19) dan endemik sekarang.
"Oleh itu CNS amat bersyukur dan berterima kasih kepada PM kerana telah mengumumkan enam inisiatif kepada penjawat awam.
"CNS juga teruja kerana Perdana Menteri memaklumkan satu sistem saraan baharu perlu dilaksanakan dalam masa terdekat dan sedang dalam tindakan JPA," katanya kepada Utusan Borneo hari ini.
Omar berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pengumuman beberapa berita baik untuk penjawat awam persekutuan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) yang dihadiri kira-kira 4,000 anggota perkhidmatan awam secara fizikal di Putrajaya kelmarin.
CNS tambahnya, akan terus bekerjasama dengan CUEPACS pusat menuntut beberapa perkara dikemukakan kepada kerajaan sebelum ini yang masih belum dilaksanakan.
Menurutnya, sebelum ini CUEPACS telah mengemukakan beberapa permohonan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan antaranya kenaikan dua tahap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT), kenaikan gaji minimum penjawat awam RM1,800, pelaksanaan sistem saraan baharu yang lebih komprehensif, adil serta saksama.
Tambahnya lagi, CUEPACS meminta kerajaan mewujudkan Gred DG56 bagi guru dan memendekkan tempoh kenaikan pangkat secara Time-Based Kali Kedua (TBK2) kepada 10 tahun.
Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2017 (Kenaikan Pangkat Secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan Bagi Pegawai Kumpulan Pelaksana) tempoh kenaikan pangkat TBK2 ialah 13 tahun atau lebih.
Pekeliling itu menyebut: "Bagi memberi peluang kemajuan kerjaya yang lebih baik kepada pegawai dalam Kumpulan Pelaksana, kerajaan telah bersetuju supaka pelaksanaan kenaikan pangkat Tdi lapisan pertama gred kenaikan pangkat time-based berasaskan kecemerlangan dipanjangkan kepada pegawai yang berada 13 tahun atau lebih di lapisan pertama gred kenaikan pangkat untuk dinaikkan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) ke lapisan kedua gred kenaikan pangkat berdasarkan time-based berasaskan kecemerlangan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018'.”
Perdana Menteri memberitahu, tambahan khas RM100 dalam KGT adalah bagi pegawai gred 11 hingga Gred 56 akan dibayar mulai Januari 2023 melibatkan 1.28 juta penjawat awam serta implikasi kewangan RM1.5 bilion.
Beliau turut mengumumkan BKK Tahun 2023 kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara kerajaan serta veteran tidak berpencen yang akan dibayar pada Januari 2023.
Pada perhimpunan tahunan itu Ismail Sabri turut mengumumkan kenaikan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang dikumpul bagi tujuan award tunai (GCR) daripada 160 hari kepada 180 hari.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/08/31/kajian-terhadap-sistem-saraan-baharu-disambut-baik |