|
Keadaan air di dalam wad yang belum pulih sepenuhnya dan masih lagi keruh. FOTO IHSAN PEMBACA
Machang: Masalah keadaan air keruh di Hospital Machang sudah diselesaikan, namun orang awam terutamanya waris pesakit tetap khuatir situasi sama berulang.
Tinjauan yang dilakukan di kawasan hospital berkenaan mendapati air yang keruh sejak dua hari lalu kini sudah kembali pulih seperti biasa walaupun tidak sepenuhnya.
Semalam, tular di Facebook yang dimuat naik seorang pengguna mengenai keadaan air yang keruh di Hospital Machang sehingga mengundang pelbagai reaksi oleh netizen mengenai permasalahan berkenaan.
Bagi waris pesakit yang ingin dikenali Syuhada, 23, berkata, dia terkejut apabila melihat keadaan air yang keruh di hospital berkenaan ketika menjaga adiknya di Hospital Machang pada dua hari lalu.
"Apabila berhadapan dengan situasi ini, saya terpaksa mengambil dan membawa air daripada rumah untuk membasuh bekas susu adik, mengelap badannya selain untuk kegunaan sendiri sepanjang berada di wad.
"Ini adalah kali kedua saya berhadapan situasi dengan masalah air yang keruh seperti 'kopi beng' (kopi ais) di hospital ini sepanjang adik saya mendapatkan rawatan di hospital ini.
"Perkara ini tidak masuk akal, ini bukan sahaja menjejaskan kualiti penjagaan kesihatan tetapi juga menyebabkan kesulitan kepada pesakit atau peneman untuk mandi dan membuang air sepanjang berada di dalam wad," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pada semalam air yang keruh itu semakin berkurangan berbanding dua hari lalu, namun tetap bimbang untuk menggunakannya.
"Sehubungan itu, saya amat mengharapkan masalah berkenaan dapat diatasi segera kerana bimbang jika digunakan ia boleh menjejaskan kesihatan diri pesakit dan juga orang lain di masa akan datang.
"Perkara ini harus diberikan perhatian serius daripada terus berulang sehingga menyusahkan orang lain," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Syaherah Che Mahmod, 19, berkata, masalah air keruh di sekitar kawasan Machang sudah berlarutan tiga tahun lalu sejak dia mula menyewa di Pangkal Changgong.
"Sebagai peniaga makanan, saya terpaksa menyediakan bekalan air bersih kerana tidak dapat menjangkakan keadaan bila air akan bertukar keruh.
"Bagaimanapun, jika keadaan ini berterusan, sudah tentulah pesakit atau waris di hospital yang berhadapan dengan masalah kerana mereka perlu mendapatkan bekalan air bersih dari luar," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -kopi-beng-berulang |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|