SIBU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM24,000 atau penjara enam bulan ke atas seorang bapa yang mengakui dua pertuduhan mendera anaknya.
Hakim Marutin Pagan menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar serta menerima pengakuan bersalah tertuduh yang dikenali sebagai David Ting, 43.
Bagi setiap pertuduhan, tertuduh dikenakan hukuman denda RM12,000 atau penjara tiga bulan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Ting didakwa mendera dua anaknya yang berusia lapan dan 12 tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di kediaman mereka di Lorong Ulu Sungai Merah pada 6 Ogos 2022.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama, di mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga guru besar sebuah sekolah rendah telah dimaklumkan penolong kanan hal ehwal murid serta guru bimbingan dan kaunseling mengenai tiga beradik iaitu anak kepada tertuduh.
Pada 8 Ogos 2022, kira-kira jam 8.30 pagi, pengadu bersama dua guru lain telah pergi ke rumah tiga beradik terbabit bagi menyiasat sebab kanak-kanak berusia 12 tahun itu tidak pergi ke sekolah.
Setibanya di rumah, pengadu telah menemu bual ketiga-tiga beradik berusia enam, lapan dan 12 tahun itu dan mereka menunjukkan kesan lebam pada tangan dan paha.
Pengadu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Merah selepas mengesyaki ketiga-tiga beradik itu didera ayah mereka.
Berikutan laporan polis itu, tertuduh telah ditahan pada 8 Ogos 2022, kira-kira jam 1.11 petang.
Siasatan kemudian mendapati ketiga-tiga beradik itu sering diabai serta dipukul tertuduh, menyebabkan banyak kesan lebam di badan mereka.
Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Heng Yi Min sementara tertuduh tidak diwakili.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/09/13/bapa-mengaku-dera-anak-didenda-rm24000 |