MIRI: Projek pembesaran Taman Awam Miri melibatkan pembinaan taman geologi seluas 11.05 ekar dijangka dibina bermula penghujung tahun ini dan siap dalam tempoh setahun.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, apabila siap kelak taman tersebut akan menjadi taman terbesar dengan keluasan lebih 30 ekar sekali gus menjadi tarikan baharu di sini.
Projek dibangunkan Majlis Bandaraya Miri (MBM) di bawah fasa keempat pembesaran Taman Awam Miri yang terletak di Jalan Miri-Airport.
Ia akan dibina di seberang jalan Taman Awam Miri yang kini merupakan tempat joging popular pada sebelah pagi dan petang.
Lee yang juga ADUN Senadin berkata, projek tersebut menggunakan dana DUN Senadin daripada Kerajaan Sarawak berjumlah RM1.5 juta.
"Taman baharu ini kelak akan memiliki taman tebing batu, taman pendidikan dan taman hutan.
"Kawasan ini merupakan tapak geologi yang sangat baik dan membantu menambah pengetahuan tentang ilmu geologi khasnya pembentukan batu dan kaitannya dengan sejarah penemuan minyak di Miri," jelasnya selepas mempengerusikan mesyuarat projek itu di sini pada Khamis.
Lee menunjukkan gambar kemudahan di taman geologi ditemani Datuk Bandar dan ADUN Pujut Adam Yii (dua kanan) dan kaunselor semasa taklimat di Dewan Bandaraya pada Khamis.
Menurut Lee, pasukan petugas teknikal di bawah MBM akan ditubuhkan untuk memuktamadkan perincian teknikal projek itu.
Lee berkata, tender projek akan dibuka pada bulan depan dan berharap kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan pada penghujung tahun.
Beliau meminta orang awam memahami prosedur pelaksanaan projek yang perlu melalui pelbagai proses sebelum dibangunkan.
"Kita tidak dapat kata hari ini peruntukan diluluskan, esok kita terus bina projek.
"Kita harus melalui proses, rekaan, anugerahkan tender dan pembinaan juga memerlukan masa," jelasnya.
Sehubungan itu, Lee menggesa MBM menyediakan peruntukan mencukupi untuk kerja-kerja penyelenggaraan taman-taman di sini.
Menurut Lee, kerja-kerja penyelenggaraan yang berterusan akan memastikan kemudahan taman dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
"Saya berharap MBM akan menyemak semula bajet tahunan dan memperuntukkan dana mencukupi untuk penyelenggaraan taman,"ujarnya.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/09/16/taman-geologi-akan-dibina-di-taman-awam-miri-hujung-tahun-ini |